PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di sembilan negeri sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Perak; Kelantan (Jeli, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang); Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Bentong).
“Selain itu di Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang); Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau).
“Seterusnya di Sabah: Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas),” menurut hantaran di Facebook, hari ini.
Jelas MetMalaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya. – UTUSAN