NIBONG TEBAL: Seramai 13 mangsa termasuk enam kanak-kanak masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Kampung Tanah Kebun, di sini sejak malam tadi akibat ribut.
Difahamkan, dua buah rumah yang mereka diami di Sungai Acheh rosak teruk dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol ketika dihubungi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian ribut kuat itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar berkata, selain dua buah rumah itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Setar turut mengalami kerosakan apabila bumbungnya diterbangkan angin kuat.
“Saya telah pergi ke sekolah tersebut untuk berjumpa dengan guru besar bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya yang memaklumkan, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Mengulas lanjut, Rashidi berkata, selain kejadian ribut, beberapa buah rumah di Kampung Haji Umar dan Sungai Chenaam dalam kawasan Sungai Acheh turut dinaiki air sehingga 30 sentimeter akibat banjir kilat semalam.
“Saya juga telah meminta pihak berkaitan untuk segera membantu membersihkan sampah bagi melancarkan air longkang supaya rumah penduduk tidak teruk dinaiki air.
“Pada masa sama, kami turut memantau rumah-rumah mangsa banjir kilat bagi memastikan mereka selamat.
“Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM), pejabat daerah (Seberang Perai Selatan), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain yang turut membantu kami,” kata beliau.
Sementara itu, seorang mangsa banjir kilat yang hanya ingin dikenali sebagai Sofia, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur rumahnya.
“Air naik terlalu cepat pada ketika itu, namun saya dan suami bersyukur kerana sempat menyelamatkan beberapa peralatan terutamanya barangan elektrik daripada ditenggelami air.
“Ini kali pertama kami berdepan dengan situasi seperti ini sejak berpindah ke Sungai Chenaam kira-kira tiga tahun yang lalu,” kata suri rumah itu. – UTUSAN