YAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan lemas di kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai, di sini selepas dia dipercayai terjatuh dari tempat tinggi ketika mandi bersama beberapa rakannya petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.02 petang.
Katanya, seramai enam anggota BBP Guar Chempedak dikejarkan ke lokasi dan melakukan pencarian di kawasan sekitar mangsa dikhuatiri lemas berdasarkan maklumat rakannya.
“Mayat berjaya ditemui pada pukul 6.18 petang tadi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN