PUTRAJAYA: Polis sudah mengenal pasti lokasi pelajar perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di sini, sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz bagaimanapun berkata, usaha mencari mangsa masih giat dijalankan dan lokasi terakhir dikesan di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, berhampiran Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat keluarga, mangsa yang dikenali Putri Insyirah Hawani Adi-Putra, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14 (1) itu sudah tiga kali keluar rumah.
“Kita dah kenal pasti lokasi mangsa, lokasi terakhir di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda. usaha mencari masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, ibu mangsa Noor Laizan Noor Azmi, 44, memohon bantuan orang ramai untuk mencari anak perempuannya yang dikhuatiri hilang sekitar pukul 8 malam selepas didakwa dibawa seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah motosikal di kediamannya di Blok C, Sub P14-7, Presint 14, di sini.
Noor Laizan berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu meminta kebenaran untuk keluar pada malam itu, namun tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini.
“Anak saya hilang pada pukul 8 malam semalam di Block C kawasan kediaman kami, yang saya perasan dia keluar dengan seorang lelaki bermotosikal berbadan kurus dan tinggi.
“Selalunya anak saya kalau nak keluar dia akan bawa adik-beradik lain tetapi kali ini dia tidak ajak, tak sangka anak saya jadi berani sampai begini.
“Dari semalam saya cuba hubungi dan menghantar mesej sehingga sekarang dia tidak membalas…ia amat merisaukan dan saya jadi buntu,” katanya.
Jelasnya lagi, sebelum ini dia sentiasa memantau aktiviti telefon anaknya itu namun, sejak kebelakangan ini dia tidak sempat untuk berbuat demikian.
“Saya dah lama tak cek telefon dia..sebab dia banyak aplikasi merepek yang dia muat turun terutama jenis chatting.
“Telefon dia juga saya pernah rampas dan dia pernah memberontak,” ujarnya.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis pada pukul 10.38 pagi tadi. – UTUSAN