SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengesan 40 kesalahan menunggang motosikal melibatkan remaja di bawah umur 16 tahun pada Operasi Khas Motosikal yang bermula 1 September sehingga semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, secara keseluruhannya sepanjang tempoh penguatkuasaan berkenaan, sebanyak 8,123 notis kesalahan dikeluarkan dan 827 motosikal disita.
Katanya, daripada 8,123 notis yang dikeluarkan termasuk kesalahan bawah umur tersebut, sebanyak 2,489 adalah kesalahan melibatkan kesalahan lesen memandu; 1,936 kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM); 1,805 kesalahan tiada insurans dan 1,023 kesalahan teknikal kenderaan.
“Kesalahan memandu semasa di bawah umur 16 tahun sebanyak 40 kes. Ibu bapa dinasihatkan mengambil perhatian berhubung perkara ini kerana golongan tersebut belum layak menunggang motosikal di atas jalan raya kerana boleh bahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan ini, sebanyak 28,586 kenderaan diperiksa. Sejumlah 3,241 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Sebanyak 8,123 notis dikeluarkan dan 827 motosikal disita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, golongan penunggang motosikal berusia antara 17 hingga 25 tahun iaitu melibatkan 2,635 kes bersamaan 32.44 peratus dan berusia 26 hingga 35 tahun dengan 2,378 kes (29.27 peratus) adalah mereka yang paling banyak melakukan kesalahan.
Dalam pada itu katanya, motosikal yang disita tersebut adalah kerana melakukan kesalahan tiada lesen memandu dan LKM dan juga tiada insurans serta pengubahsuaian yang ekstrem.
“Turut disita adalah motosikal yang ditunggang oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah iaitu sebanyak 126 buah motosikal. Sebanyak 11 buah motosikal yang disita dirujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia kerana disyaki ada gangguan pada nombor casis dan nombor enjin,” katanya.
Menurutnya, jabatan itu akan menjalankan ujian forensik dan pengecaman semula nombor casis dan enjin bagi membolehkan JPJ mengenal pasti identiti sebenar motosikal berkenaan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN