Rasuah: Bapa enam anak menangis, rayu hukuman ringan - Utusan Malaysia

Rasuah: Bapa enam anak menangis, rayu hukuman ringan

Rasuah
SEORANG pengarah syarikat dihadapkan ke mahkamah selepas menyogok seorang jurutera TNB di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat menangis di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini ketika merayu hukumannya diringankan selepas mengaku bersalah merasuah seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar 2019 hingga 2021.

Ng Yin Wui yang bekerja sebagai pengarah dekat sebuah kilang plastik kitar semula didenda RM20,000 atau penjara 20 bulan jika gagal bayar oleh Hakim Datuk Anita Harun selepas mendengar rayuan tertuduh dan hujahan pendakwa raya.

Berdasarkan fakta kes, kilang tempat Yin Wui, 41, bekerja yang terletak di Klang itu pada 21 Oktober 2019 dikesan mencuri elektrik dengan mengubah suai  meter sehingga tidak dapat merekodkan bacaan sebenar selepas diperiksa oleh jurutera berkenaan bersama seorang pegawai SPRM.

Bagaimanapun, oleh kerana enggan dikenakan tindakan dan mahu mengelak daripada berdepan situasi tersebut, pada 1 November tahun sama, bapa kepada enam orang anak itu berjumpa dengan mereka dekat dua restoran di Bandar Sunway, Subang Jaya.

Dalam pertemuan tersebut, Yin Wui menawar dan memberikan wang rasuah berjumlah RM5,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kilang miliknya serta bayaran RM500 secara bulanan bagi mengelak dikenakan tindakan pada masa akan datang.

Kemudian, dia menyerahkan wang tunai RM500 dan RM1,000 masing-masing sebanyak dua kali pada Disember 2019, Februari dan Oktober 2020 serta November 2021 sebelum ditangkap pada 28 Februari 2022 oleh SPRM.

Justeru, dalam prosiding hari ini, Yin Wui mengaku salah atas lima pertuduhan pilihan berbanding utama yang membolehkan hukuman bagi kesemua pertuduhan utama diambil kira (TIC).

Bagi pertuduhan utama, dia dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM sementara pertuduhan pilihan pula dibuat di bawah Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Mohon diberikan hukuman ringan kerana saya dan keluarga sedang menghadapi masalah besar. Saya mengalami sakit belakang, slip disc dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital. Kedua-dua ibu dan isteri menghidap masalah tumor.

“Saya ada enam orang anak yang masih bersekolah, sulung tingkatan tiga dan bongsu pula darjah satu. Ini kesalahan saya kali pertama. Mohon juga jangan dipenjara,” rayunya yang tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Raya, Yunaisvari Vengidasalam meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam terhadap kesalahan rasuah tersebut dan memohon hukuman yang setimpal dikenakan.

“Langkah-langkah pencegahan perlu diketat dan ditekankan kepada masyarakat bahawa mahakaman dan undang-undang tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya