Rapid Bus galak budaya keselamatan jalan raya

Rapid Bus galak budaya keselamatan jalan raya

Khairul Azhar Hamidulah (kanan) dan Mohd. Shahrizan Mohd.Akhir bersama bas rapidKL di Kompleks Bas Rapid Cheras Selatan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para pengguna jalan raya perlu meningkatkan budaya utamakan keselamatan terutama apabila melibatkan pengangkutan awam milik Rapid Bus bagi mengelakkan kemalangan dengan bas awam di negara ini.

Ketua Wilayah Tengah Rapid Bus, Khairul Azhar Hamidulah berkata, usaha ke arah membina budaya tersebut memerlukan penglibatan semua pihak, bukan di pihak perkhidmatan bas awam sahaja.

“Kalau mahu memupuk budaya utamakan keselamatan, ia memerlukan kedua-dua pihak, bukan kapten bas sahaja tapi ia juga termasuk orang awam seperti memberi laluan kepada bas.

“Kalau beri laluan, kita akan dapat mengekalkan jarak yang selamat. Ini disebabkan apabila berlaku kesesakan lalu lintas, ada yang tidak mengikut jarak yang ditetapkan dan ia boleh menjadi punca kemalangan,” katanya.

Khairul Azhar Hamidulah

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada meletakkan kenderaan di tepi jalan terutama di luar kawasan letak kereta kerana ia boleh mengganggu lalu lintas dan menyukarkan bas untuk menggunakan jalan dengan selamat.

“Ini kerana, tidak semua jalan bersaiz besar, walaupun laluan utama bas akan menggunakan koridor yang besar tetapi ada juga bas akan melalui taman perumahan dan ia akan menjadi sempit dan sukar jika ada kenderaan diletakkan di kiri dan kanan jalan,” katanya.

Jelasnya, kapten bas juga mempunyai tanggungjawab menjaga jarak memandu dengan selamat dan ia dilakukan setiap kali mereka bertugas.

“Mereka perlu mempunyai kesedaran terhadap jarak memandu yang selamat, sebab itu dalam akademi, kita menekankan keselamatan pemanduan secara berhemah,” katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak turut memainkan peranan dalam meningkatkan tahap budaya keselamatan dan kesedaran terhadap bas awam.

“Kita minta sokongan semua pihak untuk tingkatkan kesedaran, kita semua berkongsi jalan raya, jadi kita perlu menggunakannya secara berpada-pada dan berhemah supaya kemalangan tidak berlaku.

“Kempen sifar kematian dan sifar kemalangan dilancarkan kerana kita tidak mahu berlaku kemalangan sebaliknya kita menekankan usaha meningkatkan tahap pemanduan berhemah dan kesedaran antara satu sama lain,” katanya.

Setakat ini, kadar jumlah kemalangan bagi setiap juta kilometer melibatkan bas Rapid semakin berkurangan dari sebelum pandemik Covid-19, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira 79 peratus kenderaan persendirian terlibat kemalangan dengan bas awam, paling tinggi berbanding pengangkutan lain.

Rapid Bus ketika ini membawa lebih 235,000 penumpang menerusi perkhidmatan bas awam di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.

Dr. Mohd. Shahrizan Mohd. Akhir

Ketua Korporat Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE) Rapid Bus, Dr. Mohd. Shahrizan Mohd. Akhir berkata, pihaknya juga berusaha meningkatkan budaya keselamatan menerusi beberapa pendekatan seperti latihan akademi bersama kapten bas.

“Rapid Bus ada akademi yang ditugaskan untuk mendidik pemandu sebelum dibenarkan beroperasi di jalan raya supaya mereka sentiasa dalam keadaan berwaspada kerana kadangkala kemalangan berlaku bukan semua salah orang lain, kita juga ada salah,” katanya.

Katanya, Rapid Bus juga mengadakan program anak angkat di sekolah, memperkenalkan pelekat bas blind spot dan menggunakan teknologi terbaru.

“Kita sedang berusaha menggunakan teknologi baharu seperti kamera AI dalam bas yang boleh memberi amaran kepada kapten bas sekiranya mengantuk atau penglihatan terganggu.

“Sistem ini juga dapat mengumpul data sikap kapten bas yang bertugas dan akan menganalisis seperti kesalahan memandu menggunakan video kemalangan bagi meningkatkan kesedaran mereka,” katanya.

Tambahnya, budaya keselamatan jalan raya juga wajar dipupuk di peringkat sekolah.

“Budaya ini bukan boleh dilakukan sehari dua, ia perlu bermula dari awal. Jika silibus keselamatan jalan raya boleh diterapkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai modul kecil dalam sistem pembelajaran, ia akan membantu memberi pendedahan awal terhadap budaya keselamatan,” ujarnya.

Apa pun katanya, semua pihak perlu mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya dengan sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya dan peka keadaan sekeliling termasuk blind spot kenderaan besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya