Ramasamy mahu perjanjian penjualan tanah libatkan PDC digantung - Utusan Malaysia

Ramasamy mahu perjanjian penjualan tanah libatkan PDC digantung

P. RAMASAMY (tengah) dalam sidang akhbar mengenai kontroversi penjualan tanah PDC di Perai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Gantung perjanjian penjualan tanah antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Umech Land Sdn. Bhd. buat sementara waktu.

Itu gesaan yang dibuat bekas Tmbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy terhadap kerajaan negeri demi kepentingan awam di Pulau Pinang secara menyeluruh.

Ramasamy berkata, selain itu, ketika ini juga, terdapat beberapa persoalan yang belum terjawab berhubung perjanjian itu khususnya selepas dibangkitkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC).

Katanya, antara persoalan itu ialah mengapa tanah tersebut dijual melalui rundingan terus tanpa pelaksanaan tender terbuka dan mengapa dinilaikan pada kadar yang rendah.

Dakwa beliau, persoalan lain adalah mengapa tidak ada pelabur tempatan dari Pulau Pinang dan mengapa bekas pemilik tanah tidak boleh mengambil tindakan undang-undang memandangkan tanah yang dijual itu pada awalnya telah diambil alih secara paksa.

Ramasamy yang juga sebahagian daripada jawatankuasa kecil PDC berkata, walaupun Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah memberikan penjelasan mengenai isu itu dengan mempertahankan penjualan tersebut atas alasan kurangnya minat terhadap tanah itu, namun ia tidak memadai.

“Mengapakah tanah itu dijual kepada Umech Land walaupun rundingan yang dibuat sebelum ini adalah dengan Umech Construction Sdn. Bhd.?

“Selain itu, apakah yang telah mendorong Sunway (Berhad) untuk memperoleh (sehingga) 70 peratus saham Umech Land tanpa memberi keterangan yang jelas kepada PDC, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam yang lain?” soalnya dalam sidang akhbar berkaitan isu itu di Perai, hari ini.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, penjualan tanah PDC seluas 226.2 hektar (559 ekar) di Byram, Pulau Pinang yang berharga lebih RM646 juta baru-baru ini itu seperti telah ‘membuka sebuah kotak Pandora’ atau menyebabkan berlakunya pelbagai masalah yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Menurut beliau, tanah itu telah dijual pada harga RM26.53 sekaki persegi seperti harga untuk ‘tanah kosong’ iaitu tanah tanpa infrastruktur asas apatah lagi ia terletak berhampiran dengan tapak pelupusan sampah yang besar di Byram.

Ujar Ramasamy, maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bagaimanapun menunjukkan nilai tanah di Byram adalah sekitar RM80 sekaki persegi.

“Nampaknya tidak pernah terlintas di fikiran pihak pentadbiran PDC bahawa pelabur juga mempunyai kepentingan lain dalam menempatkan syarikat mereka berhampiran tapak pelupusan sampah iaitu untuk mendapatkan faedah kredit karbon.

“Tanah perindustrian sangat kurang di Pulau Pinang dan inilah antara punca utama Pulau Pinang tidak mampu menarik pelaburan asing. Sebaliknya, pelabur asing dan tempatan mungkin akan mempertimbangkan negeri lain yang mempunyai tanah sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya