Rakyat perlu cakna tentang kesihatan mental - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Rakyat perlu cakna tentang kesihatan mental – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sewaktu Majlis Sumbangan MAIPs Peduli di Masjid Al-Islah, Ngulang, Mata Ayer, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seluruh rakyat khususnya di Perlis perlu lebih cakna dan memberi perhatian terhadap aspek kesihatan serta kesejahteraan mental.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penekanan terhadap kesihatan mental bukan sahaja perlu diberikan terhadap diri sendiri malah turut melibatkan ahli keluarga dan kakitangan di tempat kerja masing-masing.

“Setiap lapisan masyarakat juga diharap dapat memainkan peranan bagi membendung masalah kesihatan mental ini,” titah baginda selepas berkenan menghadiri Majlis Sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di Masjid Al-Islah, Ngulang, Mata Ayer, di sini.

Dalam program berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 penerima kariah Ngulang dan 70 penerima kariah Perawah di mana setiap seorang mendapat bantuan wang tunai bernilai RM700.

Berdasarkan rekod National Health And Morbidity Survey (NHMS) 2019, Malaysia mencatatkan sebanyak 2.3 peratus atau hampir 500,000 penduduk berumur 18 tahun dan ke atas mengalami kemurungan.

Untuk konteks Perlis, sebanyak 4.3 peratus iaitu dua kali ganda data kebangsaan atau anggaran hampir 7,000 penduduk berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah yang sama.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari berkata, pelbagai aktiviti bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia sedang dan telah dijalankan sepanjang bulan September serta Oktober ini.

“Antara aktiviti tersebut adalah seperti slot Medik Radio (Perlis FM) berkaitan Kesihatan Mental dan Penyakit Mental, Ceramah Kesihatan Mental melibatkan guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Ceramah Kesihatan Mental melibatkan guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis juga turut mengambil inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental di semua klinik kesihatan di Perlis.

“Perkhidmatan kaunseling dan sokongan mental serta rujukan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental juga disediakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya