Raja Muda Perlis berkenan adakan pertemuan dengan Mufti Kemboja - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis berkenan adakan pertemuan dengan Mufti Kemboja

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Mufti Kemboja, Oknha Haji Kamaruddin Yusof di ibu pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam negara itu yang beroperasi di Khan Russey Keo, Phnom Penh.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Mufti Kemboja, Oknha Haji Kamaruddin Yusof di ibu pejabat Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam negara itu yang beroperasi di Khan Russey Keo, Phnom Penh.

Kamaruddin juga adalah merupakan Presiden Cambodia Halal Technical dan sudah pernah beberapa kali berkunjung ke negeri Perlis sebelum ini.

Untuk rekod, hubungan antara komuniti Islam di Kemboja dengan Perlis telah bermula puluhan tahun lalu semenjak era bekas Mufti Perlis lagi iaitu ketika Allahyarham Datuk Alim Panglima Haji Mat Jahya Haji Hussin masih berkhidmat dari tahun 1984 sehingga 2006.

Terdapat lebih daripada 45 orang pelajar berasal dari Kemboja yang pernah belajar di beberapa buah institusi pendidikan di Perlis seperti Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiah (MATRI) dengan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pembelajaran di peringkat diploma dalam pelbagai bidang pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) yang sekarang menjadi alumni pelajar Perlis sekali gus sedang bergiat aktif dalam pelbagai lapangan pendidikan dan pengurusan Islam di Kemboja.

Antara yang mengiringi baginda dalam pertemuan itu adalah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle bagi membincangkan beberapa kerjasama dua hala termasuklah dalam bidang pendidikan dan pengurusan hal ehwal Islam.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs ialah sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.

Baginda disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim bagi memulakan lawatan khas dengan tujuan bagi merasmikan sebuah masjid sumbangan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia dengan kerjasama MAIPs di Choy Metrey.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya