Raih kepercayaan rakyat kepada Pas melalui empat negeri - Utusan Malaysia

Raih kepercayaan rakyat kepada Pas melalui empat negeri

Negeri Pas
MOHD. Amar Nik Abdullah berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Ke-64 sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas perlu memastikan prestasi keempat-empat negeri yang ditadbirnya iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu berada pada tahap optimum untuk dinilai pengundi sebelum diberi kepercayaan oleh mereka untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau menjangkakan landskap politik negara ini akan mencapai satu peringkat tiada parti yang mampu membentuk kerajaan dan Pas ketika itu akan menjadi pilihan.

“Dalam tempoh lima tahun yang ada ini adalah satu tempoh yang penting, kita sudah menang empat negeri dan kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Selangor. 

“Ini adalah semua proses, jika kita boleh membuktikan kemampuan kita mentadbir di empat negeri dengan baik menjadi model kepada dasar Islam yang kita bawa, kita boleh memainkan peranan yang berkesan di dewan negeri terutama di Selangor maka dilihat pilihan jelas pada pilihan raya akan datang adalah Pas dan juga Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) Ke-64, hari ini.

Beliau menambah, jika  dalam tempoh lima tahun akan datang, Pas gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam pentadbiran di empat negeri tidak mustahil ia juga boleh ditolak oleh rakyat.

Jelasnya, bagi memastikan Pas terus kekal relevan menjadi pilihan rakyat sebagai kerajaan, kesemua negeri yang dipimpin oleh parti tersebut perlu mempunyai perancangan pembangunan yang sistematik.

“Pembangunan apa yang boleh dilakukan di Perlis? Bagaimana pula di Kelantan, apa yang perlu ditambah? Di Kedah dan Terengganu, apa yang perlu dilaksanakan?

“Justeru biar DUPP memainkan peranan menyelidiki input-input akademik supaya rakyat boleh nampak inilah pembangunan atau bentuk kerajaan yang ingin diwujudkan (oleh Pas),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya