SETIU: Sebuah pusat pengajian Islam yang akan menempatkan anak-anak yatim dan miskin dari negara Asean akan dibina di Kampung Kuala Jengal, Dungun pada Januari tahun depan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, projek itu dinamakan Akademi Pengajian Islam Anak Yatim Asean atau APIA.
Menurut beliau, fasa pertama APIA dijangka menelas kos RM20 juta melibatkan dana wakaf daripada orang ramai bagi kerja-kerja pembinaan masjid, kompleks asrama dan bangunan pentadbiran.
Selain itu, Tengku Mahmud berkata, sebuah perkampungan pesara bagi golongan pesara mendalami pengajian Islam juga akan dibina dalam fasa kedua membabitkan kos RM25 juta lagi.
“APIA berkonsepkan tahfiz keusahawanan yang juga omponen utama di bawah Taman Rimba Asean (TRA) dengan usahasama Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Kemboja dan Vietnam.
“Pendanaan projek ini adalah melalui model kewangan wakaf iaitu orang ramai boleh membuat sumbangan RM10 untuk satu kaki persegi di tanah seluas 566 hektar di Kuala Jengal, Dungun.
“Ketika ini kita sedang menunggu kelulusan pelan projek dan saya jangka kerja-kerja pembinaan APIA yang berkapasiti 1,500 orang akan bermula suku pertama tahun depan,” katanya.
Belia berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kepimpinan dan Jati Diri yang disertai 200 pelajar anak yatim dan miskin dari tiga buah institut pengajian tinggi (IPT) di Kolej Universiti Bestari (UCB) Setiu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut pembinaan APIA, Tengku Mahmud berkata, seramai 120 pelajar dari lapan negara itu akan ditempatkan di kampus sementara di Bukit Kapas, Hulu Terengganu selama tiga tahun.
Menurut beliau, projek itu akan diurus tadbir bersama UCB, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) dan Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim Atau Miskin Malaysia (Yawatim)
“Usaha menarik sumbangan orang ramai melalui wakaf ini telah bermula pertengahan tahun dan setakat ini jumlah yang berjaya dikumpul adalah hampir RM300,000 sejak tiga bulan lalu.
“Diharap lebih ramai turut sama menjayakan projek pengajian Islam ini dalam usama kami melahirkan anak yatim dari golongan miskin yang mampu menjadi tahfiz, usahawan atau pemimpin berjaya,” katanya. – UTUSAN