PUTRAJAYA: Sebuah lagi pusat penempatan khas anak-anak tahanan imigresen, Baitul Mahabbah akan dilancarkan bulan depan di Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat penempatan itu adalah yang kedua selepas pertama dilancarkan di Nilai, Negeri Sembilan pada 4 September lalu.
Beliau berkata, kementerian berhasrat untuk membuka empat Baitul Mahabbah bagi menempatkan kira-kira 1,400 anak-anak tahanan imigresen berusia 18 tahun dan ke bawah.
“Kos bagi pembinaan tiga pusat itu termasuk yang kedua di Sabah bulan depan adalah sekitar RM10 juta. Dua lagi Baitul Mahabbbah dijangka dibuka di Sarawak dan sebuah lagi di Semenanjung.
“Kita telah memohon supaya inisiatif pembinaan itu dimasukkkan dalam Bajet 2024 yang akan dibentangkan esok,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, beliau berharap ia diluluskan sekali gus memberi penempatan dan kemudahan lebih selesa kepada anak-anak tahanan imigresen.
Inisiatif Baitul Mahabbah adalah sesuai dengan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kanak-Kanak 2021 ataupun di bawah Kanun Keseksaan dan selaras Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Malah, Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (NSO MAPO) dan Bahagian Hal Ehwal Imigresen (IM) juga adalah peneraju bersama di peringkat KDN bagi pelaksanaan inisiatif ini.
Buat masa ini, Baitul Mahabbah Nilai menempatkan 23 kanak-kanak dan 10 orang penjaga dari kalangan ibu kanak-kanak terbabit yang di bawa dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Semenyih, KLIA dan Eco Millennium Beranang. – UTUSAN