BALIK PULAU: Sebuah pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa yang mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan tumpas menerusi serbuan di sebuah premis perniagaan di Bayan Baru dekat sini, kelmarin.
Premis perniagaan itu dipercayai menjadi pusat panggilan aktiviti pelacuran yang berpusat di Australia dan dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu, seramai 11 individu yang kesemuanya warga tempatan termasuk enam wanita ditahan polis.
Turut ditahan ialah ‘mastermind’ pusat panggilan itu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun dan ibunya berusia 65 tahun yang dipercayai menjadi operator di pusat panggilan itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan mendapati premis tersebut beroperasi sejak Disember 2021 dan sindiket itu mampu menjana pendapatan kira-kira RM30,000 sehari dan mencecah hampir RM1 juta sebulan.
“Modus operandi sindiket ini ialah mereka memainkan peranan menjadi orang tengah menggunakan pautan laman sesawang https://www.escortsandbabes.com.au bagi mempromosi serta mengiklan aktiviti pelacuran yang mensasar pelanggan di Australia.
“Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan khidmat seks akan berhubung dengan sindiket ini melalui nombor talian Australia dengan memggunakan kad sim syarikat telekomunikasi Australia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, pelanggan di Australia akan membuat bayaran terus kepada pelacur yang telah ditempah menerusi pusat panggilan tersebut dan sindiket pelacur di negara tersebut akan membayar semula komisyen kepada sindiket di sini.
”Pelacur sindiket ini juga kebanyakan berasal dari Australia dan bayaran khidmat seks mereka adalah antara AUD200 hingga AUD3,000.
”Jumlah pelacur yang dipromosi menerusi laman web tersebut adalah sekitar 100 hingga 120 orang,” katanya.
Kata beliau, suspek utama kes tersebut iaitu lelaki berusia 33 tahun itu didapati pernah bekerja di Australia serta dipercayai terlibat dengan kumpulan pelacuran di negara berkenaan.
”Dia dipercayai membawa pulang idea untuk membuka pusat panggilan tersebut dan suspek lain berusia 21 hingga 65 termasuk ibunya dipercayai menjadi operator pusat tersebut dengan bayaran sebanyak RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
“Pusat panggilan ini beroperasi 24 jam dengan dua syif dan kali terakhir suspek dikesan ke Australia ialah Julai lalu,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini laman web berkenaan masih aktif dan polis percaya sindiket di Australia masih lagi aktif.
Dalam pada itu, katanya, sindiket tersebut didapati mendaftarkan perniagaannya secara sah sebagai syarikat teknologi maklumat.
”Polis turut merampas pelbagai barangan seperti 161 telefon bimbit, 11 unit monitor, empat buah modem, lapan buah CPU, sebuah kereta dan lain-lain barangan.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari sehingga 26 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN