KUALA LUMPUR: Purata 60,000 kes jenayah dalam talian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh sama, kerugian jenayah dalam talian terus mencatat peningkatan dengan keseluruhan hampir RM2 bilion direkod bagi tempoh 2021 hingga September lalu.
Namun kata beliau, jumlah kerugian dicatatkan menunjukkan peningkatan ketara dari RM560.9 juta pada 2021 kepada RM687.6 juta pada tahun lalu.
“Malah bagi tempoh Januari hingga September lalu, jumlah kerugian yang dicatatkan membabitkan kes jenayah dalam talian sudah mencecah RM687.7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucap tama mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sempena persidangan 13th International Conference On Financial Crime And Terrorism Financing (IFCTF) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Menurut beliau, penubuhan National Scam Response Center (NSRC) adalah salah satu langkah untuk membanteras kegiatan jenayah dalam talian.
“Penubuhan NSRC adalah melalui kerjasama antara Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” jelasnya.
Beliau turut menekankan supaya semua agensi dan pihak berkepentingan dapat memainkan peranan optimum bagi mengawal serta membanteras jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.
“Perkembangan teknologi dipacu kemajuan internet dan kecerdasan buatan (AI) adalah satu fenomena yang sudah menjadi sebahagian cara hidup masa kini.
“Pelbagai industri termasuk perbankan sudah beradaptasi dengan kemajuan ini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
“Namun, langkah berwaspada harus sentiasa diambil bagi menangani impak negatif yang mungkin berlaku,” katanya.
IFCTF 2023 adalah persidangan anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officer’s Networking Group (CONG).
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Oktober lalu hingga hari ini menghimpunkan profesional bidang keselamatan, perbankan dan penyiasatan dari seluruh dunia. – UTUSAN