Pulau syarikat antarabangsa salur dana kepada Israel - Utusan Malaysia

Pulau syarikat antarabangsa salur dana kepada Israel

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama digesa memulaukan syarikat-syarikat antarabangsa yang didapati menyalurkan dana kepada rejim Israel.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ia termasuk syarikat antarabangsa yang didapati menderma makanan secara percuma kepada tentera Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya memulau kesemua syarikat antarabangsa yang menyalurkan dana kepada Israel.

“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia sama ada yang beragama Islam atau tidak supaya menunaikan tanggungjawab kemanusiaan mereka dengan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin untuk meringankan penderitaan mereka akibat serangan regim Zionis,” katanya di sini hari ini.

Israel ketika ini meningkatkan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang menyebabkan ribuan penduduk Palestin maut manakala ramai yang cedera termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.

Menurut Wan Salim, umat Islam di seluruh dunia wajib membantu saudara-saudara mereka yang sedang berjuang di bumi Palestin bagi mempertahankan diri dan tanah air daripada menghadapi serangan kejam daripada rejim Israel.

“Apatah lagi media melaporkan tentera penjajah Zionis menyasarkan kemudahan-kemudahan awam di Semenanjung Gaza termasuk hospital, masjid dan kediaman penduduk,” katanya.

Tambah beliau, Amerika Syarikat (AS) perlu disedarkan supaya menghentikan polisi ‘double standard’ yang dipraktikkan negara itu selama ini.

”Kuasa besar dunia ini (AS) menyokong Republik Ukraine menentang Rusia, sedangkan di Palestin mereka menyebelahi penjajah Israel.

”Malah, mereka membantu menyerang rakyat yang berjuang untuk mengembalikan hak dan negara mereka yang dirampas oleh Israel sejak 1948,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya