Pulau Pinang gesa Pusat segera lulus cadangan DOSM untuk banci pertanian - Utusan Malaysia

Pulau Pinang gesa Pusat segera lulus cadangan DOSM untuk banci pertanian

FAHMI ZAINOL (dua,kanan) dan Khairolnizam Hassan (kiri) melawat gerai pameran sempena Seminar Statistik Pertanian di USM Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon Kerajaan Pusat segera meluluskan kertas cadangan yang dikemukakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang bagi membolehkan Banci Pertanian 2024 (BP 2024) dilaksanakan bermula Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, bancian itu memainkan peranan penting bagi memastikan semua pihak terlibat memperolehi data terkini berhubung sektor pertanian negeri.

Jelas beliau, kali terakhir bancian pertanian itu dijalankan adalah pada 2005 sekali gus menunjukkan data berkaitan tidak dikemas kini 18 tahun lamanya.

“Kalau bercakap tentang isu ekonomi, sudah semestinya ia terkait dengan data, namun bagi sektor pertanian, boleh dikatakan ia selalunya dipinggirkan.

“Ini adalah masa paling sesuai untuk DOSM melaksanakannya supaya kerajaan dan agensi berkaitan dapat menjamin sekuriti makanan negara serta mengelakkan lambakan tanaman sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Statistik Pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah DOSM negeri, Khairolnizam Hassan.

Sementara itu, Khairolnizam berkata, dijangkakan 10,000 kediaman akan dibanci bermula Julai sehingga September hadapan.

Kata beliau, pihaknya kini sedang mengemas kini maklumat dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk mencari, mengenal pasti dan mengesahkan petani yang aktif di negeri ini sebelum BP 2024 dimulakan.

“Kalau diikutkan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita perlu menjalankan banci pertanian ini sekali dalam setiap setiap 10 tahun.

“Walaupun begitu, kita menjalin kerjasama dengan agensi pertanian untuk memperoleh maklumat yang diperlukan biarpun ketika itu mungkin ada keperluan (banci) cuma belum betul-betul mendesak.

“Bagaimanapun, ketika ini keadaan sangat mendesak untuk kita dapatkan bagi membantu agensi pertanian terutamanya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk melihat sekali gus menyumbang input dalam penggubalan dasar dan polisi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya