PROMAK tajaan BERNAS pelengkap kepada HiTS, RMT di sekolah

PROMAK tajaan BERNAS pelengkap kepada HiTS, RMT di sekolah

FADHLINA Sidek (tengah) bersama Rohani Abdul Karim (kanan) selepas melakukan gimik pelancaran PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah yang diadakan di AIU, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang disediakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menjadi pelengkap kepada Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah.  

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, malnutrisi memberi kesan kepada akses pendidikan serta kehadiran murid ke sekolah yang memerlukan sinergi dan kerjasama semua pihak terutamanya syarikat korporat seperti BERNAS.

Katanya, program yang berkait dengan penyediaan makanan nutrisi sihat itu juga perlu dihayati oleh semua pihak dan mesti dilaksanakan dalam bentuk pendidikan bermula dari rumah.

“Program seperti PROMAK bukan sahaja dapat membantu mengatasi isu mulnutrisi dalam kalangan murid, bahkan ia sebagai serampang dua mata yang turut mampu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

“Kita dimaklumkan oleh BERNAS yang menjalankan kajian impak ke atas 45 sekolah PROMAK di Kedah dari Julai 2022 sehingga Januari lalu yang mendapati purata kehadiran murid untuk setiap bulan meningkat sebanyak lima peratus daripada 84 peratus kepada 89 peratus sejak PROMAK diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah yang diadakan di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Penasihat Khas Yayasan Albukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar; Ahli Lembaga Pengarah BERNAS, Datuk Ab. Rahim Ab. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman.

Sejak PROMAK dilancarkan, sebanyak 93 buah sekolah rendah di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan menerima manfaat hasil inisiatif sosial itu yang membabitkan seramai 20,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. 

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa terbuka dan memberi sokongan sekiranya BERNAS bercadang untuk memperluaskan PROMAK ke lebih banyak sekolah di seluruh negara.

“BERNAS sentiasa proaktif dan kita baru sahaja memperbaharui komitmen untuk tahun ini, 2024 dan tahun seterusnya kerana perluasan manfaat itu akan ditentukan oleh BERNAS dan KPM akan menyambut baik pelaksanaan itu,” katanya.

Sementara itu, Rohani memaklumkan BERNAS amat menghargai sokongan dan kerjasama daripada KPM serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan PROMAK menepati matlamatnya.

“Setakat ini, hampir empat juta hidangan makanan tengah hari bernilai RM6 disediakan kepada murid-murid yang terlibat di bawah program ini setiap hari persekolahan. Kedah merupakan negeri terbesar dengan 45 sekolah dan lebih 10,000 murid menikmati makanan berkhasiat.

“Hidangan makanan tengah hari yang disediakan ini mencakupi piramid makanan yang seimbang berdasarkan nasihat dan piawaian KKM serta dipantau oleh pihak sekolah dan penyedia pemakanan bertauliah yang dilantik bagi memastikan makanan yang disediakan adalah bernutrisi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya