Program MBA UUM diiktiraf terbaik di Malaysia, nombor 28 Asia

Program MBA UUM diiktiraf terbaik di Malaysia, nombor 28 Asia

KERAJAAN harus menilai semula pengambilan graduan luar negara bekerja dalam sektor ENE dan mendahulukan graduan tempatan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang ditawarkan Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai program nombor satu dalam kalangan universiti di negara ini menerusi indikator Keusahawanan dan Pencapaian Alumni.

Dalam penarafan QS Global MBA Rankings 2024 yang dikeluarkan semalam, indikator Kepelbagaian Negara dan Kesaksamaan Gender Pelajar dan Staf juga meletakkan program MBA UUM pada kedudukan terbaik berbanding universiti lain.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, program MBA universiti itu berjaya membuat lonjakan melebihi 50 anak tangga sehingga tersenarai dalam kedudukan 151 hingga 200 program Global MBA terbaik dunia.

MOHD. FOAD SAKDAN

Menurutnya, kejayaan itu didorong oleh keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik UUM serta peningkatan daripada pelbagai aspek termasuk kebolehpasaran graduan, kepimpinan dan pulangan pelaburan (ROI).

“Selain itu, peningkatan ketara dalam semua indikator turut mengukuhkan lagi reputasi program MBA UUM sebagai pusat pengajian unggul dalam bidang perniagaan dan pengurusan. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga UUM atas pencapaian dan komitmen diberikan,” katanya.

Di peringkat Asia, UUM menduduki tempat ke-28 bagi penarafan itu, selain berada dalam kelompok 151 hingga 200 di dunia berbanding kedudukan 201 hingga 250 pada edisi sebelum ini.

Penarafan ini berdasarkan kepada lima indikator yang ditetapkan iaitu ‘class and faculty diversity’, ‘entrepreneurship and alumni outcomes’, ‘return on investment’, ‘thought leadership’ dan ’employability’.

UUM melalui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) adalah salah satu pusat pengajian pasca siswazah perniagaan terkemuka di Malaysia dengan tumpuan kepada pendidikan perniagaan yang profesional dan multidisiplin. 

OYAGSB menawarkan program termasuk MBA, Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Pengurusan (D Management).

Program MBA dan DBA menawarkan pelbagai bidang pengkhususan dan telah berjaya menarik minat pemimpin korporat, pegawai atasan kerajaan, pemimpin masyarakat yang menjadi testimoni kepada kualiti pengajian perniagaan dan pengurusan di UUM. 

Sementara itu, Mohd. Foad berkata, pencapaian terbaru itu juga adalah satu pengiktirafan kepada usaha keras UUM dalam meningkatkan mutu pengajaran, penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat. 

Menurutnya, reputasi membanggakan ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada bakal pelajar dan pelajar sedia ada bahawa mereka berada di institusi yang berprestij dan kompetitif di peringkat global.

“Ini adalah hadiah kepada UUM yang bakal menyambut ulang tahun ke-40 pada 2024. Semoga UUM terus berusaha dalam meningkatkan prestasi dan menjadi semakin diiktiraf di peringkat global dalam bidang pendidikan pengurusan dan penyelidikan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya