PERANAN perajurit Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menjadi benteng hadapan pertahanan bukan sekadar mempertahankan negara daripada ancaman musuh durjana.
Sebaliknya, anggota TDM turut memainkan peranan penting kepada aspek kesejahteraan sosial rakyat. Malah, hubungan kerjasama tentera dan awam atau lebih sinonim dengan singkatan CIMIC (Civil-Military Cooperation) merupakan antara sumbangan besar terhadap usaha pembinaan negara bangsa yang mampu menjamin keamanan di samping persediaan mendepani pelbagai bentuk ancaman keselamatan masa kini.
Melalui konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang sebelum ini diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara pada Mei 1986 dan KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan), CIMIC juga
sentiasa kekal relevan sebagai salah satu kaedah pengurusan keselamatan secara menyeluruh serta merupakan usaha berterusan yang seimbang demi mewujudkan persefahaman dan kerjasama erat di antara tentera serta awam.
Selain itu, melalui program CIMIC yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama masyarakat mampu mendukung Pelan Strategik MinDef (2021 – 2025) di bawah
Teras 4 dengan bermatlamat untuk memperkukuhkan sokongan masyarakat serta memenangi hati rakyat demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni, selamat, berdaulat dan makmur.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, dengan melihat strategi pertahanan dalam konteks dunia tanpa sempadan pada hari ini, ia bukan hanya
bergantung kepada kekuatan ketenteraan itu sendiri malah perlu menggabungkan pelbagai elemen yang boleh menyumbang kepada keutuhan dan kekuatan sesebuah negara.
“Justeru TDM bukan sahaja bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman, sebaliknya turut mendukung aspirasi serta menyumbang kepada pembangunan negara menerusi
gunasama pelbagai kepakaran yang ada di dalam ketumbukan ini ketika aman.
“Menerusi pendekatan CIMIC yang digariskan di dalam Pelan Strategik MinDef (2021 – 2025) di bawah Teras 4 Pengukuhan Kerjasama Awam – Tentera, kita sentiasa menjalin hubungan dan kerjasama baik dengan pelbagai agensi awam dan swasta.
“Sebagai contoh menerusi inisiatif Projek Jiwa Murni (PJM), TDM telah mengaturgerak kepakaran Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bagi membantu pihak berkuasa tempatan membina
dan membaik pulih kediaman penduduk yang usang selain membaik pulih infrastruktur serta fasiliti awam dengan kos minimum,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Muhammad Hafizuddeain, ini sekali gus memberi peluang kepada TDM untuk menyumbang bakti serta meringankan bebanan golongan sasar serta masyarakat daif dan
tidak berkemampuan sejajar dengan hasrat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, tugas mengekalkan keamanan dan keselamatan kini tidak lagi didominasi oleh jentera kerajaan semata-mata, sebaliknya peranan
ini harus dipikul bersama oleh segenap lapisan rakyat Malaysia melalui pendekatan “Whole of Government”, Whole of Society” (WGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Malah katanya, peranan TDM tidak terhad kepada memperkukuhkan kesiagaan pertahanan negara, sebaliknya turut melaksanakan tanggungjawab dalam membantu kerajaan membina keupayaan pembangunan negara (Nation Building).
“Menerusi pembangunan keupayaan Army 4NextG, TDM turut mendukung aspirasi Teras 4 kepada Pelan Strategik MinDef (PSM) melalui Pengukuhan Kerjasama Tentera dan Awam
dengan membantu, mendekati dan menyumbang kepada masyarakat semasa aman melalui pengukuhan inisiatif dan program yang dilaksanakan menerusi pendekatan CIMIC,” jelasnya.
Muhammad Hafizuddeain dalam masa yang sama berkata, fokus utama program CIMIC yang dilaksanakan adalah untuk mewujudkan satu kerjasama yang bersifat efektif di antara komuniti setempat dan ATM secara keseluruhannya.
Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap peranan ATM dan TDM khususnya untuk turut bersama membantu memperkasakan pertahanan dan keselamatan negara selain mengurangkan tanggapan serta persepsi negatif masyarakat terhadap ATM.
Sebagai rekod, antara program dan projek yang dilaksanakan di bawah Teras 4 PSM ialah Program Jiwa Murni (PJM) yang meliputi program motivasi pendidikan, kebajikan (termasuk warga
ATM dan rakyat) dan kerohanian, program Engineering Civic Action (ENCAP) dan Medical Civic Action (MEDCAP).
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain berkata, inisiatif tersebut dalam masa yang sama dapat memperluaskan lagi peluang pengambilan Pasukan Simpanan Sukarela untuk
kakitangan sektor awam dan swasta menerusi pameran dan promosi kerjaya.
“TDM khususnya mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh disumbangkan kepada kesejahteraan rakyat khususnya semasa negara berada di dalam keadaan aman,”ujarnya.
Sepanjang tahun 2023, TDM menerusi Jabatan Arah Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah diberi mandat untuk melaksanakan PJM melibatkan sebanyak 55 projek di bawah Kementerian Pertahanan yang juga merupakan inisiatif Menteri Pertahanan. – UTUSAN