Program Aspirasi Geospatial rangsang pembangunan negeri

Program Aspirasi Geospatial rangsang pembangunan Perak

Saarani Mohamad melawat pameran pada perasmian program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Program Aspirasi Geospatial yang dilancarkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini membantu kerajaan negeri merangsangkan lagi pembangunan dengan lebih berkesan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Halizah Sipun berkata, program itu antara inisiatif dalam usaha memperkenalkan kepada agensi kerajaan untuk lebih menelusuri bidang geomatik dan geoinformasi serta kegunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS), sejajar dengan Malaysia ke arah memperkasa industri 4.0 dan IoT (internet benda).

Menurutnya, program itu memberi pendedahan tentang kepentingan GIS dalam merancang dan membuat keputusan dalam pelbagai agensi kerajaan khususnya dalam merealisasikan Perak Sejahtera 2030, di mana setiap keputusan yang dibuat berdasarkan data lokaliti setempat serta tepat.

“Menerusi program ini, agensi kerajaan memperoleh pendedahan dan kefahaman tentang kepentingan keseragaman data bagi memudahkan proses kerja dan komunikasi melalui peta sebelum data dianalisis untuk menghasilkan asas pembuatan keputusan yang tepat.

“Program ini juga dapat memupuk kerjasama dan penglibatan agensi kerajaan untuk bersama-sama membantu proses penyediaan data geospatial digital bagi memastikan data yang diterima dan dihasilkan adalah tepat dan terkini.

“Rentetan daripada program ini juga terdapat agensi kerajaan yang memberi respon positif terhadap penganjurannya serta memberi cadangan penambahbaikan dan pembangunan aplikasi yang menepati keperluan agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi GIS mampu memaparkan peta bersama data atribut iaitu maklumat berteks dan secara ringkasnya, peta bermaklumat.

Katanya, teknologi GIS mampu memproses dan mengintegrasi pelbagai maklumat berkaitan dalam sesebuah kawasan kajian kerana teknologi GIS bukan sahaja mampu memaparkan peta dasar, malah, berupaya memodel dan meramal sesuatu keadaan yang bakal berlaku pada lokasi geografi terbabit hasil integrasi kemasukan maklumat-maklumat lain yang berkaitan.

“Dalam mengharungi masa hadapan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi GIS perlu menjadi pilihan utama pemegang taruh ke arah pembangunan dan pengurusan lebih cepat, tersusun dan mapan. GIS sebenarnya bukanlah bidang asing memandangkan semua sektor kerajaan mahupun bukan kerajaan sudah pun menggunakan aplikasi ini dalam pelbagai perkara,” katanya.

Beliau berkata, sinonim dengan aspirasi agenda kedua dan ketiga pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Digital dan Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, penganjuran program ini dapat membantu mencapai matlamat dalam pelan tersebut dengan memberi pendedahan kepada agensi tentang kepentingan data geospatial dan potensi solusi teknologi GIS.

“Program Aspirasi Geospatial membantu kerajaan negeri dalam penggubalan dasar, perancangan pembangunan dan sosioekonomi, pembuatan keputusan, pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang. Data merupakan aset penting bagi kerajaan untuk memastikan keputusan lebih bersasar dan tepat.

“Berdasarkan data, kerajaan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan keberkesanan dalam perbelanjaan awam dan dapat membuat keputusan yang lebih tepat merentasi keseluruhan sektor awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya