KEMAMAN: UMNO Bahagian Kemaman mencadangkan ketuanya, Datuk Seri Ahmad Said sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman nanti.
Menurut sumber, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merupakan antara nama yang mendapat sokongan untuk disenaraikan sebagai calon
Bagaimanapun, katanya, terdapat sekurang-kurangnya tujuh nama dipilih oleh UMNO bahagian itu untuk disenaraikan sebagai calon.
Katanya, kesemua nama tersebut akan diserahkan kepada UMNO negeri untuk disenarai pendek sebelum dipilih UMNO Pusat.
“Ahmad Said merupakan pemimpin yang paling layak dipilih sebagai calon kerana kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
“Pada masa sama, Ahmad Said juga antara pemimpin parti di negeri ini yang memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melibatkan Parlimen Kemaman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sumber itu memberitahu, antara nama lain yang dipercayai turut disenarikan ialah ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin dan Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Zulkefli Abu Bakar.
Tambahnya, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula difahamkan menolak cadangan untuk disenaraikan sebagai calon kerana ingin memberi tumpuan kepada tugasnya itu.
“Selain itu, terdapat maklumat menyatakan seorang ahli akademik yang merupakan anak tempatan bakal diketengahkan sebagai calon dalam PRK Kemaman,” ujarnya.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya itu.
Dalam pada itu, pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen tersebut.
Pada PRU15, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas mengumpul 65,714 undi menewaskan pencabarnya, calon BN, Ahmad yang mendapat 38,535 undi, calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi). – UTUSAN