PRK Dun Jepak: GPS kekal kunci mulut, tidak mahu dedah  

PRK Dun Jepak: GPS kekal kunci mulut, tidak mahu dedah bayangan calon 

ABANG Johari Tun Openg bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Universiti Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ dan enggan memberi bayangan calon yang akan dipertandingkan dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan datang. 

Bagaimanapun, beliau mendedahkan individu yang dicalonkan parti PBB itu merupakan seorang pemimpin lelaki.

“Mungkin esok atau lusa kita akan umumkan. 

“Tetapi yang pastinya dia (calon) itu merupakan lelaki,” dedah Abang Johari tanpa mengulas lanjut perkara tersebut dalam sidang akhbar.

Abang Johari berkata demikian ketika ditanya mengenai calon yang akan dipertandingkan GPS pada PRK DUN Jepak selepas hadir menyempurnakan Majlis Graduasi Universiti Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini. 

Baru-baru ini, Abang Johari mendedahkan beberapa nama calon sudah dikenal pasti.

Jelasnya, nama-nama itu kini dalam proses penapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita ada beberapa nama dan senarai ini sedang ditapis oleh pihak polis dan SPRM.

“Hal ini kerana kita mahukan calon yang mempunyai rekod baik dan bersih. Yang pastinya calon PBB atau GPS nanti adalah orang tempatan, komuniti Vaie,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak, Sarawak pada 4 November ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon pula pada 21 Oktober manakala undi awal ditetapkan pada 31 Oktober 2023 dengan sejumlah 22,804 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2 juta.

Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan sehari sebelumnya.

Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya