PPDK SPT rai penglibatan OKU dalam komuniti - Utusan Malaysia

PPDK SPT rai penglibatan OKU dalam komuniti

SHUHALIZA Abdul Hamid (empat dari kiri) bersama sebahagian pemenang pada Program Kecergasan dan Sukaneka OKU PPDK Bukit Minyak Bersama Komuniti Setempat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Tengah (SPT) meraikan penglibatan pelatihnya yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) melalui penganjuran aktiviti sukaneka sempena sambutan Hari Sukan Negara yang disambut serentak seluruh negara, baru-baru ini.

Penyelaras PPDK SPT, Shuhaliza Abdul Hamid berkata, penglibatan OKU dan para waris termasuk ibu dan bapa dalam aktiviti komuniti seumpama itu dilihat penting dalam mempromosikan budaya hidup sihat dalam kalangan pelatih PPDK itu sendiri.

“PPDK diwujudkan dalam komuniti untuk memberi pemulihan kepada pelatih OKU yang tiada peluang ke sekolah pendidikan khas.

“Dengan adanya program pemulihan ini diharap dapat menggalakkan penyertaan warga OKU dalam masyarakat selain ingin menyebar luas maklumat mengenai peranan PPDK dalam masyarakat dengan lebih efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Shuhaliza ditemui pada Program Kecergasan dan Sukaneka OKU PPDK Bukit Minyak Bersama Komuniti Setempat yang turut dihadiri Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah SPT Baizlin Hasbi, Pegawai Seranta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Aiman Fashehah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desmond Chew di Taman Sentul Jaya di sini.

Shuhaliza menambah, pihaknya turut menyeru para waris terutama ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk keluar dari kepompong stigma masyarakat dengan membuat permohonan di PPDK terdekat bagi menggilap bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh golongan tersebut.

“Kepada waris yang mempunyai anak-anak OKU janganlah sembunyikan mereka, sebaliknya keluarkan mereka untuk terlibat dalam masyarakat kerana dalam komuniti juga mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan untuk pelatih OKU.

“Malah, di pihak jabatan sekarang banyak mewujudkan program yang melibatkan OKU di mana kita nak mereka diintegrasikan dalam masyarakat secara keseluruhannya.

“Selain itu, PPDK juga banyak melahirkan atlet OKU berjaya seperti Datuk Abdul Latif Romli di mana beliau merupakan salah satu produk PPDK yang digilap sendiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya sambil menambah tiada had umur untuk memohon di bawah program tersebut.

Pada program tersebut, seramai 88 peserta termasuk pelatih OKU, ibu bapa, waris dan penyelia PPDK SPT mengikuti acara sukaneka antaranya mengutip bola ke dalam bakul, menarik bola ke dalam gelung rotan, menjunjung pundi kacang, menggubah bunga dan lain-lain acara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya