KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini selepas merampas dadah jenis syabu bernilai RM17.2 juta dalam lima serbuan bersaingan di negeri ini pada Rabu lalu.
Kesemua syabu seberat 521 kilogram (kg) itu dirampas menerusi lima siri serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, rampasan itu hasil risikan dan intipan yang dilakukan pihaknya di sekitar negeri ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand yang berusia lingkungan 20 hingga 54 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Pada masa sama, kita turut merampas 521 kg dadah jenis syabu dua buah kenderaan.
“Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah methamphetamine untuk pasaran tempatan dan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2.6 juta penagih dadah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mohd. Kamarudin memberitahu, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari Thailand melalui jalan darat dan diedarkan untuk pasaran tempatan terutama Lembah Klang.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak Mei tahun ini.
“Lelaki Thailand yang ditahan itu berperanan sebagai koordinator di negara jiran dan kita juga percaya kumpulan sindiket ini mempunyai rangkaian dengan Myanmar dan Thailand.
“Kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Mohd. Kamarudin berkata, ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo manakala tujuh lagi suspek negatif dadah.
“Semakan rekod juga mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Setakat ini, kita menyita lima buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM309,000,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki kumpulan berkenaan. -UTUSAN