PUTRAJAYA: Polis menafikan dakwaan sebuah video tular yang mengaitkan sebuah ambulans terbalik di sini malam kelmarin akibat dirempuh pemandu mabuk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Bestari berdekatan Menara Usahawan itu, sebuah ambulans membawa seorang pesakit terbalik akibat dilanggar sebuah kereta mewah dipandu warga asing.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati, ambulans dinaiki tiga kakitangan Hospital Putrajaya itu dalam perjalanan ke hospital selepas mengambil seorang pesakit di Presint 18.
Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans berkenaan sedang melalui persimpangan lampu isyarat itu sambil membunyikan hon dan siren sebelum dilanggar kereta mewah jenis Audi TT FSI secara tiba-tiba.
“Siasatan mendapati, pemandu kereta panik dan tidak sempat membrek dan melanggar ambulans itu ketika melalui persimpangan lampu isyarat di mana ketika itu lampu bertukar hijau.
“Kereta berkenaan dari arah Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra, manakala ambulans itu pula dari arah Presint 18 menuju ke Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, akibat rempuhan itu, ambulans itu terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans dan seorang pesakit mengalami kecederaan, manakala pemandu kereta dan penumpangnya pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.
A Asmadi berkata, ketika kejadian permukaan jalan rata dan tidak licin dan kes kini masih disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, pihaknya turut memohon rakaman sistem litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi kejadian juga diminta tampil untuk membantu siasatan. – UTUSAN