GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) mencatat kejayaan operasi yang membanggakan apabila membuat rampasan bernilai kira-kira RM186 juta sepanjang Januari sehingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia membabitkan 4,955 kes termasuk kesalahan penyeludupan rokok, minuman keras dan dadah.
Menurut beliau, kejayaan itu diperolehi hasil jalinan kerjasama strategik dalam bidang operasi dengan agensi penguatkuasaan maritim negara-negara jiran yang bersempadan dengan Malaysia.
Selain itu, tambahnya, kejayaan itu juga hasil muafakat bersama Jabatan Imigresen; Jabatan Perikanan; Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Jabatan Laut serta Lembaga Pelabuhan dan Dermaga dalam usaha memerangi penyeludupan kontraban dan mencegah jenayah rentas sempadan di perairan negara.
”Saya sangat yakin PPM dapat menempa lebih banyak lagi kejayaan dengan lebih baik pada masa-masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, dekat sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan sambutan peringatan Hari Polis Marin ke-76 yang turut dihadiri Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan dan pucuk pimpinan pasukan sentiasa mengambil cakna kebajikan dan keperluan aset PPM sejajar dengan arus pembangunan pesat dalam bidang teknologi marin.
Jelas beliau, antara projek dan aset terbaharu PPM adalah projek Pembangunan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di Tok Bali, Bachok, Kelantan bernilai RM75 juta yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap Januari depan.
Selain itu, ujarnya, Projek Pembangunan Markas Pangkalan Hadapan (Forward Operation Base) di Pulau Mabul, Semporna, Sabah bernilai RM45.5 juta juga kini dalam pembinaan dan dijangka siap Januari depan.
“Projek lain adalah Pembangunan Markas Operasi Muar di Muar, Johor bernilai RM40 juta yang kini dalam proses penyediaan skop kerja oleh Jabatan Kerja Raya.
”PPM juga memperoleh aset antaranya 10 buah bot ‘police strike craft’, Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Full Cabin dengan nilai kos projek sebanyak
RM32.81 juta serta dua buah kapal pengangkut kelas Police Transport Vessel pelbagai kegunaan,” katanya.
Tambah Razarudin, beliau mengharapkan aset yang bakal diperolehi nanti bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada warga PPM dalam menjalankan tugas, malah menjadi inspirasi untuk meningkatkan lagi prestasi kerja masing-masing. – UTUSAN