Polis lengkap siasatan kes kibar bendera Israel  - Utusan Malaysia

Polis lengkap siasatan kes kibar bendera Israel 

BENDERA Israel yang dipasang seorang lelaki di sebuah premis perniagaan di Terengganu, baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pengibaran bendera Israel di sebuah premis perniagaan di negeri ini yang tular di media sosial, minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya akan menghantar kertas siasatan tersebut dan menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN).

Menurut beliau, pihak polis sebelum itu sudah mengambil keterangan daripada seorang lelaki berusia iaitu pemilik premis berusia 30-an yang turut dikehendaki dalam kes dadah.

“Kertas siasatan tersebut sudah disiapkan dan kita akan menghantar kepada PPN dalam masa terdekat bagi mengambil tindakan seterusnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana perbuatan dengan niat mengganggu keamanan.

“Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya memandangkan suspek dikehendaki bagi kes dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Mazli menasihati orang ramai agar tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat termasuk mengibarkan bendera Israel.

Pada 19 Oktober lalu, tular di media sosial dua keping gambar menunjukkan bendera Israel dikibarkan di sebuah premis dipercayai di Bukit Payong, Marang dekat sini.

Tindakan itu telah mengundang kecaman orang ramai malah kebanyakan pemilik akaun media sosial meluahkan rasa marah dan tidak setuju dengan perbuatan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN