Polis lengkap siasatan kes BMW dipandu lawan arus - Utusan Malaysia

Polis lengkap siasatan kes BMW dipandu lawan arus

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis telah melengkapkan siasatan membabitkan kes seorang pemandu kereta jenis BMW yang memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, pada 2 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kertas siasatan tersebut
akan dirujuk ke pejabat pendakwaan negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan pertuduhan terhadap suspek.

”Kertas siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk ke pejabat pendakwaan negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, 2 Oktober lalu.

TANGKAP layar video kereta jenis BMW berwarna putih yang dipandu melawan arus kira-kira lima kilometer ke arah susur masuk Jambatan Pulau Pinang sebelum merempuh sebuah Perodua Bezza dalam kejadian awal pagi 2 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 Series iaitu wanita berusia 41 tahun yang dikesan memandu secara melawan arus dari arah pusat bandar.

Menurut Soffian, setakat 18 Oktober lalu, seramai empat individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu termasuk pemandu kenderaan BMW dan Perodua Bezza.

“Kedua-dua pemandu berkenaan yang sebelum ini masing-masing menerima rawatan dan ditahan di wad telah dibenarkan pulang.

”Pemandu kenderaan Perodua Bezza dibenarkan pulang pada 11 Oktober, manakala pemandu BMW pada 9
Oktober lalu,” katanya.

Tambahnya, pada 9 Oktober lalu juga, pemandu BMW berkenaan iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk memberi keterangan.

“Tangkapan telah dibuat terhadap wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

“Suspek kemudiannya telah dilepaskan dengan jaminan polis kerana masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan rawatan susulan di hospital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya