Polis kenal pasti beberapa individu terlibat penyeludupan dadah ke

Polis kenal pasti beberapa individu terlibat penyeludupan dadah ke Australia

KAMARUDIN Md. Din (tengah) melihat rampasan dadah jenis syabu dan kokain selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah yang bernilai RM 33.73 juta di Lembah Klang ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa individu di negara ini yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah methamphetamine di Melbourne yang berjaya dibongkarkan negara berkenaan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, identiti mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan berhubung perkara itu.

Kata beliau, siasatan awal mendapati, dadah berkenaan diseludup dari kawasan segi tiga emas sebelum dibungkus semula di negara ini sebelum dihantar ke negara berkenaan.

“Kita (polis) telah pun dapat maklumat dari pihak berkuasa Australia. Kita sedang jalankan siasatan sekarang bagi mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah itu.

“Perkara itu masih dalam tindakan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Media pada 10 April lalu melaporkan pihak berkuasa Australia dilapor merampas 336 kg heroin bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata Pasukan Sempadan Australia (ABF)  mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kg.

Semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Sementara itu, AFP sekali dalam kenyataan pada 12 Oktober lalu mendedahkan penahanan empat lelaki dengan seorang daripada mereka warganegara Malaysia, ditahan pihak berkuasa Australia berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kg di Melbourne, Australia.

AFP melaporkan bungkusan itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan.

Dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN