Polis buru individu lastik, baling batu ke arah lori

Polis buru individu lastik, baling batu ke arah lori

KEADAAN lori yang dilastik dan dibaling batu dalam kejadian Kilometer 46 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Kemuning, Machang, Kelantan, pagi tadi. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan giat memburu individu melastik dan membaling batu ke arah lima buah lori dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Kemuning, Machang, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian antara pukul 11 malam hingga 12.07 tengah malam itu berlaku ketika lori tersebut melalui kawasan berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa kejadian empat daripada lima lori itu yang membawa muatan ubat dari aran Pengkalan Chepa menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebuah lagi lori tanpa muatan dari arah Kota Bahru menghala ke Ipoh, Perak.

“Setiba di lokasi, pemandu menyedari lorinya telah dilastik dan dibaling batu oleh beberapa individu yang tidak dikenali kerana keadaan ketika itu sangat gelap.

“Ekoran itu, kesemua cermin hadapan lori berkenaan retak akibat perbuatan tersebut,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua pemandu lori terlibat telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pagi tadi.

Katanya, hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan laluan lebuh raya dan keadaannya gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

“Kita sedang menjalankan siasatan sama ada kejadian itu berkaitan dengan isu mogok yang dianjurkan oleh pemilik lori di Kota Bharu sebelum ini.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu supaya menghubungi pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN