SEBAGAI sebuah institusi pelaburan terulung di negara ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebenarnya telah mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam mengurus kewangan rakyat Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sebagai salah satu daripada instrumen di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara, PNB tidak lagi ‘menoleh’ ke belakang sebaliknya terus mengorak langkah progresif dalam usaha untuk mewujudkan generasi ‘celik’ kewangan hingga ke hari ini.
Ternyata, ‘mandat’ yang diberikan kepada PNB bukan sekadar untuk mencipta ‘kekayaan’ golongan bumiputera dan rakyat Malaysia amnya, tetapi memastikan setiap tindakan mereka terus memberikan impak positif kepada ekonomi dan sosial masyarakat.
Dalam hal ini, PNB percaya bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk memperkasakan komuniti dengan kemahiran celik kewangan seperti menyimpan, melabur dan membuat keputusan kewangan yang bijak.
Justeru, syarikat pengurusan pelaburan itu kekal berdedikasi untuk meningkatkan taraf hidup dan membantu orang ramai mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka.
Bagi PNB, literasi kewangan adalah aset ilmu yang penting dan harus dimiliki oleh setiap insan kerana ilmu pengurusan kewangan yang betul dan bijak, membantu individu untuk mempunyai sumber kewangan mencukupi demi keperluan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
Oleh yang demikian, mereka ‘berikrar’ untuk terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat atau CSR dengan memastikan rakyat negara ini terus diperkasakan dengan pengetahuan serta kemahiran untuk membuat keputusan kewangan dengan yakin pada setiap peringkat usia.
“Untuk tujuan itu, PNB telah berkolaborasi bersama syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi menganjurkan berbagai inisiatif dan aktiviti berteraskan literasi kewangan sebagai memenuhi kesemua empat teras komitmen CSR seperti yang digariskan iaitu, membiayai pendidikan, meningkatkan literasi kewangan, membangunkan komuniti, dan menjalankan inisiatif perkongsian ilmu pengetahuan.
“Kolaborasi antara PNB dan ASNB ini telah menggabungkan kemahiran dan kepakaran secara kolektif untuk menjana hasil yang lebih baik dalam kalangan kumpulan sasar menerusi program-program utamanya.”
“Kerjasama ini seterusnya turut menyumbang sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan dalam memartabatkan ekonomi negara di samping membawa perubahan positif kepada golongan yang memerlukan.
“Pada masa yang sama, PNB juga mempunyai tanggungjawab untuk membentuk nilai dan menjana pulangan jangka panjang secara berterusan kepada pemegang unitnya selari komitmen syarikat untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan membantu rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan yang lebih baik seiring keperluan kewangan diri dan keluarga di masa hadapan,” kata wakil PNB.
Di bawah inisiatif perkongsian ilmu pula, PNB sebenarnya begitu komited untuk memupuk kelestarian negara dengan mewujudkan platform perkongsian pengetahuan yang menggalakkan inovasi, kerjasama dan pembangunan mampan.
Hal ini penting bagi membolehkan syarikat itu menjadi lebih bermaklumat mengenai trend dan pengaruh terkini terhadap pelaburan, ekonomi dan amalan kepimpinan.
Sehubungan itu, bagi mencapai objektif atau sasaran tersebut, PNB berhasrat melaksanakan usaha ini menerusi pelbagai program ‘signature’nya yang dianjurkan secara berterusan, agar ilmu dan pengetahuan yang hendak disebarkan, sampai tepat kepada kumpulan sasaran dan berterusan.
Dalam hal ini, usaha PNB untuk menyokong keperluan masyarakat ‘diterjemahkan’ melalui penyediaan peluang pendidikan juga merupakan inisiatif pembangunan komuniti yang dilaksanakan menerusi program-program yang melibatkan penyertaan orang ramai seperti Sembang-Sembang ASNB, Kuiz Pelaburan PNB, Kelab Pelaburan Bijak PNB dan Ramah Mesra ASNB.
Menyentuh mengenai program literasi kewangan utama PNB pula, kita pastinya tidak akan dapat ‘lari’ daripada mengaitkan program tersebut dengan kejayaan penganjuran karnival literasi kewangan tahunan terbesar PNB iaitu Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang mula diperkenalkan sejak lebih 20 tahun yang lalu.
Untuk tahun ini, buat pertama kalinya karnival yang berlangsung di Setia Fontaines, Bertam, Kepala Batas itu memilih untuk mengetengahkan konsep hibrid iaitu gabungan antara pameran fizikal dan digital dengan menerapkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM sepanjang penganjurannya yang bermula dari 30 September hingga 8 Oktober lalu.
Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, MSAM 2023 pada asasnya meletakkan fokus untuk memupuk budaya suka menabung dan melabur di semua peringkat usia dalam kalangan rakyat Malaysia bagi membantu mereka menyediakan sumber kewangan diri dan keluarga secara lestari bagi menampung keperluan kewangan di masa hadapan.
Dengan meletakkan tiga perkara penting berkaitan pengurusan kewangan iaitu peraturan bajet, kuasa kompaun dan pelaburan berasaskan matlamat, karnival yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa rakan korporat seperti S P Setia, Maybank, Sime Darby Plantation, UMW Holdings dan banyak lagi dianggap telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya dengan kehadiran pengunjung yang begitu memberangsangkan.
Hal ini demikian diakui sendiri oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda yang memberitahu, lebih 200,000 pengunjung telah mengunjungi MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari berbanding sasaran awal iaitu sekitar 150,000 pengunjung.
Jelas beliau, perkembangan positif itu turut membantu usaha PNB untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui ketika berlangsungnya MSAM berpuas hati kerana berkesempatan untuk menimba pelbagai ilmu berkaitan kewangan dan pelaburan selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan menerusi peraduan dan kuiz yang dijalankan sepanjang karnival itu berlangsung.
Bagi Hazrul Hadi Shamsuddin, 42, MSAM umpama ‘pusat sehenti’ untuk mendapatkan pelbagai maklumat tanpa perlu pergi ke semua institusi perbankan atau pelaburan untuk tujuan itu.
“Ini kali kedua saya berkunjung ke MSAM di Pulau Pinang ini selepas kali pertama negeri ini menjadi tuan rumah pada 2004,” kata pensyarah kolej itu.
Sebenarnya, selain MSAM, PNB juga mempunyai beberapa program literasi kewangan lain yang juga memberi manfaat kepada masyarakat atau komuniti secara total.
Kuiz Pelaburan PNB misalnya menyentuh mengenai perkongsian tips dan cara pengurusan kewangan yang betul serta Kelab Pelaburan Bijak PNB pula menyasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah dalam usaha untuk memupuk tabiat suka menyimpan sejak di bangku sekolah.
Selain itu, PNB turut menawarkan bantuan dan sokongan untuk meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat sekeliling melalui beberapa inisiatif dan sumbangan yang diberikan kepada pelbagai pihak.
Untuk pengetahuan ramai, PNB sangat menitik beratkan soal pendidikan rakyat Malaysia dan sehingga tahun 2022, PNB telah membelanjakan sejumlah RM34 juta dalam bentuk program-program penajaan atau biasiswa pendidikan yang memanfaatkan 1,229 pelajar cemerlang di seluruh negara.
Laporan Tahunan Bersepadu PNB tahun 2022 menyebut, antara program yang ditaja termasuklah Anugerah Biasiswa Global PNB dan Anugerah Biasiswa Perdana Yayasan Tun Ismail, Inisiatif Akauntan Bertauliah PNB (PCA), Program Biasiswa PNB-Kolej Ilmu serta Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI).
Ternyata, peranan yang dimainkan oleh PNB dalam membangunkan generasi masyarakat yang celik kewangan sangat besar dan wajar untuk kita hargai sebaiknya. – UTUSAN