BATU GAJAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jabatan kerajaan supaya susunan jadual program yang beliau hadir tidak menyebabkan tetamu jemputan atau orang ramai terpaksa menunggu kehadirannya terlalu lama.
Perdana Menteri berkata, penetapan masa sehingga 15 minit lebih sesuai untuk menjemput tetamu sebagai persediaan menantikan kehadiran beliau.
“Saya tengok dalam jadual, ketibaan Perdana Menteri jam 1, ketibaan jemputan jam 12. Mengapa awal sangat? Satu jam (tempoh) buat apa.
“Jadi saya minta semua jabatan kerajaan, kalau urusan program ini tukarlah sedikit. Kalau ketibaan Perdana Menteri jam 1, ketibaan jemputan 12.40 pun boleh.
“Ini jadikan arahan. Tempoh 10 minit hingga 15 minit untuk mengatur tidak mengapa, tetapi tidak perlu tetamu diminta hadir begitu lama kerana membazir waktu dan mengurangkan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra Madani Bersama Perdana Menteri di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.
Anwar pada waktu pagi menghadiri program berlainan di Ipoh sehingga tengah hari sebelum ke UTP yang dihadiri hampir 1,000 orang terutama penuntut universiti berkenaan.
Dalam program dihadirinya, Anwar secara berterusan mengetengahkan isu-isu semasa negara termasuk dasar-dasar kerajaan serta nasihat kepada penuntut yang hadir.
Antara perkara disentuh oleh Perdana Menteri ialah kepentingan zakat kepada pembangunan negara, keutamaan program subsidi terhadap golongan berpendapatan rendah serta melahirkan generasi cerdik pandai yang turut menekankan nilai-nilai kemanusiaan.
Beliau juga menegaskan sekali lagi tentang tekad kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan dengan membantu 135,000 keluarga yang masih berada dalam kelompok tersebut menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN