PUTRAJAYA: Pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam melalui Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu dijadikan satu signal kepada sektor swasta untuk meningkatkan kadar upah lebih baik untuk pekerja mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini terutama bagi syarikat-syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan tinggi demi memberikan satu galakkan untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.
Beliau berkata, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan prestasi produktiviti tinggi tapi kadar upah tidak meningkat apatah lagi kajian Jabatan Perangkaan mendapati produktiviti bagi pekerja swasta ada peningkatan, namum kadar upah pekerja meningkat sangat sederhana.
“Saya juga minta sektor swasta ada yang complaint (mengadu) syarikat untung hingga RM400 juta setahun, tapi upah pekerja tak meningkat langsung.
“Jadi saya harap signal diberikan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam juga disambut sektor swasta terutama yang mencatat keuntungan baik. Bagilah tambahan munasabah dalam keadaan yang ada sekarang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar berkata, keputusannya dalam memberikan bayaran insentif awal kajian SSPA sebanyak RM2,000 menerusi Belanjawan 2024 lalu adalah dibuat untuk rangka lebih luas walaupun ia tidak diusulkan Kementerian Kewangan.
Ini kerana, katanya, kajian sistem persaraan perkhidmatan awam itu harus dibuat secara menyeluruh dan komprehensif memandangkan ia tidak dilaksanakan sudah 10 tahun.
“Justeru kajian itu, tidak boleh buat macam kajian biasa, dan semua jabatan atau sektor yang agak ketinggalan atau tidak ada akses mesti diberikan kesempatan untuk mengemukakan pandangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan saya nak semua rumusan itu sampai ke meja kami tatkala kita bincang di peringkat tertinggi supaya ada ruang langsung.
“Saya harap pertengahan tahun depan kena siapkan supaya ada pengumuman penting dalam belanjawan akan datang,” katanya. – UTUSAN