PM arah FAMA, LPP bertindak proaktif edar beras tempatan

PM arah FAMA, LPP bertindak proaktif edar beras tempatan

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat NACCOL Bilangan 2 Tahun 2023 di Putrajaya. - FOTO PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) lebih proaktif terutama bagi kawasan-kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan rakyat dalam mendapatkan bekalan beras.

Perdana Menteri berkata, agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu bertindak sedemikian sebagai agensi pengedar susulan langkah intervensi yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam.

Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 hari ini yang turut berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.

“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup dibentangkan semasa mesyuarat tersebut.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun kadar inflasi dalam negara mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun, Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.

Katanya, inisiatif ini diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.

“Adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.

“Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh kementerian sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.

Sehubungan itu, katanya, kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan.

Mesyuarat tersebut turut mengambil maklum perancangan serta pelaksanaan Pangkalan Data Utama Kerajaan (PADU) oleh Kementerian Ekonomi.

Katanya, NACCOL juga mendapat penjelasan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

“Selain itu, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil.

“Saya turut mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat diberikan perhatian yang serius agar rakyat menerima manfaat secara terus bagi setiap inisiatif dan strategi yang dilaksanakan,” katanya.

Anwar turut menyeru agar semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani terus diperkukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya