PM ajak rakyat Malaysia ke Axiata Arena esok, tanda solidariti

PM ajak rakyat Malaysia ke Axiata Arena esok, tanda solidariti rakyat Palestin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk ke Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil esok sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.

Menurut hantaran Facebook Anwar, perhimpunan itu bermula daripada pukul 7.30 hingga 10.30 malam.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,” katanya.

Terdahulu, Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan Perdana Menteri dijangka menghadiri perhimpunan esok.

Katanya, semua pihak tanpa mengira parti politik, agama dan bangsa dijemput untuk perhimpunan itu sebagai tanda solidariti terhadap kekejaman dilakukan kepada rakyat Palestin akibat kezaliman Zionis Israel.

Program itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti persembahan serta ucapan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kemuncak kepada himpunan rakyat Malaysia berbilang kaum itu adalah ucapan Perdana Menteri,” katanya dalam hebahan media hari ini.

Lokman juga memaklumkan peserta digalakkan berpakaian putih ke perhimpunan tersebut.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 4,651 penduduk di Semenanjung Gaza terkorban dan lebih 13,000 cedera sejak tentera rejim Zionis mengebom tanpa henti wilayah terkepung itu.

Ribuan pesakit di seluruh hospital di Gaza berada dalam bahaya apabila kesemua fasiliti kesihatan di wilayah dikepung pengganas Israel itu kehabisan simpanan bahan api untuk menjana elektrik kecemasan.

Lebih dua minggu sejak 7 Oktober lalu, rakyat di Gaza terpaksa hidup menggunakan bekalan bahan api kecemasan selepas rejim zionis mengenakan sekatan sepenuhnya termasuk bekalan bahan api, elektrik dan air untuk operasi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya