SEREMBAN: Keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan kem-kem tentera sebagai lokasi latihan dilihat sebagai keputusan tepat, malah, lebih menjimatkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sememangnya menjadi keperluan untuk melihat masyarakat termasuk di Negeri Sembilan mempunyai jati diri yang teguh dan latihan selama 45 hari di kem tentera terlibat merupakan langkah yang sesuai bagi merealisasikan hasrat itu.
“Berbanding di kem-kem PLKN milik swasta sebelum ini, kita sudah ada fasiliti di kem-kem yang boleh digunakan dan inilah yang sebenarnya yang saya rasa ditunggu-tunggu oleh pelajar kita untuk tinggal dan merasai sendiri pengalaman di kem-kem tentera.
Saya harap dengan kita adakan di kem-kem tentera, ia lebih menjimatkan dan tersusun, di situ sudah ada pegawai dan tenaga jurulatih, jadi, ia lebih disiplin dan teratur, ibu bapa juga tidak perlu bimbang, premis kerajaan ini juga lebih terjamin keselamatannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan semula tetapi menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.
Beliau berkata, antara perbezaannya, peserta PLKN akan menjalani latihan di 13 kem tentera wataniah untuk latihan 45 hari dengan 13 kem yang tersedia itu, ia mampu menampung kapasiti pelatih sehingga 4,000 orang pada satu-satu sesi.
Sementara itu, ditanya berkenaan beberapa kem PLKN terbiar yang terdapat di negeri ini, Aminuddin berkata, ia tidak menimbulkan sebarang isu kerana ia semenangnya milik swasta.
“Kem PLKN itu disediakan pihak swasta dan persendirian, bukan milik kerajaan dan mereka yang mengenakan bayaran kepada kerajaan.
“Ia beroperasi di tanah persendirian, tidak timbul isu terbiar, itu memang milik individu dan kerajaan menyewa sahaja,” katanya.-UTUSAN