PKIBM harap Bajet 2024 lebih inklusif kepada IPTS bumiputera

PKIBM harap Bajet 2024 lebih inklusif kepada IPTS bumiputera

Amir Hamzah Md. Isa berkata
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap nasib lebih 500,000 pelajar tempatan yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui Bajet 2024 yang bakal dibentang Jumaat ini.

Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) berharap Bajet 2024 akan bersifat lebih inklusif dan mesra mahasiswa memandangkan lebih separuh daripada keseluruhan pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 403 buah IPTS di seluruh negara.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md. Isa berkata, Bajet 2024 wajar memperluas kadar pembiayaan penuh 100 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pelajar dalam kategori M40.

Beliau berkata, ketika ini, pelajar dari keluarga M40 hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75 peratus dan ia memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa dalam kelompok pendapatan berkenaan.

“Pembiayaan penuh ni penting bagi meringankan beban ibu bapa tetapi pada masa sama, menyokong usaha kerajaan meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kerajaan juga wajar mempertimbang tawaran pinjaman pendidikan Mara kepada pelajar bumiputera yang menuntut di IPTS berstatus cemerlang (MyQUEST 2022–Berdaya Saing) terutama bagi program diploma dalam kategori kritikal.

Amir Hamzah berkata, berdasarkan statistik semasa, pelajar bumiputera dari keluarga B40 dan M40 dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  sederhana lebih cenderung mengikuti program diploma kerana tempoh pembelajaran yang singkat.

Menurutnya, PKIBM turut menggesa kerajaan memperluas inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik.

“Ketika ini, hanya mahasiswa di universiti awam, pelajar politeknik, kolej komuniti, pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru ditawarkan bantuan subsidi berkenaan. Kesamarataan hak dalam kalangan pelajar IPT tanpa membezakan IPT awam atau swasta di negara ini wajar diberikan perhatian,” katanya.

Katanya, kerajaan juga diminta menawarkan skim pembiayaan mudah khususnya IPTS bumiputera berkelayakan yang masih terkesan dengan pasca-pandemik Covid-19 sebelum ini.

Jelasnya, pembiayaan seumpama itu pernah diperkenal sebelum ini menerusi Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM PENJANA).

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu memperkenal Insentif Pelan Digitalisasi IPTS bagi meningkatkan keupayaan proses pengajaran, meningkatkan infrastruktur dan kemudahan internet di kampus.

PKIBM adalah sebuah persatuan nasional yang menaungi 54 buah IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej milikan bumiputera di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN