PH batal hasrat kemuka petisyen tiga DUN di Selangor - Utusan Malaysia

PH batal hasrat kemuka petisyen tiga DUN di Selangor

Petisyen DUN Selangor
AMIRUDIN Shari dalam sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak meneruskan petisyen terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menyemak keputusan tersebut dengan peguam parti (PKR) yang ditentukan melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.

“Kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak dimajukan (diteruskan).

“Gombak Setia sudah di hantar yang lain tiga DUN dalam penelitian, tetapi saya difahamkan pihak peguam PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita serahkan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) (parti),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam cuma menerima satu petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Malah, sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor ketika dihubungi berkata, tiada petisyen bantahan bagi kawasan lain difailkan meskipun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memberitahu akan mengemukakannya bagi empat DUN yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada 12 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menjelaskan petisyen dibuat terhadap DUN Gombak Setia dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), namun tidak dimaklumkan asas tindakan tersebut.

“Itu dikemukan atas sebab beberapa asas. Asas untuk kesalahan pilihan raya ini atas proses SPR ada juga atas kesalahan melanggari perjalanan pilihan raya jadi saya rasa itu strategi pempetisyen iaitu BN dengan urusan SPR atau mahkamah untuk menetapkan (menentukan),” jelasnya.

Petisyen yang dikatakan melibatkan empat DUN itu dirancang ekoran kemenangan yang diperoleh di kawasan berkenaan adalah rendah dan DUN tersebut adalah Sungai Kandis dengan majoriti 167 undi, Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Dengkil sebanyak 407 undi majoriti.

Pada PRN lalu, di Gombak Setia, Hilman Idham (PN) memenangi DUN berkenaan dengan memperoleh undi sebanyak 30,299 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.

Sementara di Sungai Kandis, bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dengan undi yang diperolehi masing-masing sebanyak 28,759 dan 28,926 undi.

Di Taman Medan pula, Setiausaha PN Selangor, Dr. Afif Bahardin memperoleh 22,316 undi menewaskan wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang ketinggalan tidak jauh dengan jumlah undi sebanyak 22,286.

Bagi DUN Dengkil, Noorazli Said daripada BN tewas kepada wakil PN, Datuk Seri Jamil Salleh dengan jumlah undi diperolehi masing-masing iaitu 33,154 dan 33,561 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya