Petisyen Masjid Tanah: Apa nasib Mas Ermieyati? - Utusan Malaysia

Petisyen Masjid Tanah: Apa nasib Mas Ermieyati?

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUKUL 10 pagi hari ini, untung nasib Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kerusi Parlimen Masjid Tanah bakal diketahui apabila Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengumumkan keputusan petisyen.

Jika mahkamah mengekalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerusi itu dilihat akan menjadi ‘tapak’ buat Bersatu melebarkan sayapnya di Melaka.

Masjid Tanah merupakan kerusi yang amat bermakna buat Bersatu dan UMNO.

Ini ke­rana Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang kini Ketua Menteri datang dari situ.

Malah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali juga dari Masjid Tanah.

Pada PRU14, Barisan Nasio­nal (BN) memenangi dua kerusi Parlimen di Melaka iaitu Masjid Tanah dan Jasin. Namun Mas Ermieyati yang juga bekas Ketua Puteri UMNO meng­umumkan keluar parti pada 1 Julai 2018 dan menyertai Bersatu.

Tindakan itu jelas mening­galkan luka mendalam kepada UMNO yang kehilangan satu kerusi di Dewan Rakyat manakala Mas Ermieyati dise­rang penuh konsisten dengan gelaran ‘katak’.

Kemenangan Mas Ermie­yati ketika PRU15 menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid menjadi tamparan hebat buat UMNO.

Ditambah pula dengan kekalahan BN di kesemua enam kerusi Parlimen di Melaka, keputusan petisyen yang membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) pastinya tidak akan disia-siakan UMNO, menebus maruah mereka di kubu kuat sendiri.

Apa yang pasti, keputusan mahkamah sama ada mengekal atau membatalkan kemenangan PN sukar diramal.

Pihak pempetisyen yang mewakili BN dilihat berkeyakinan memenangi kes itu selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap Pengerusi Armada Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir dan bekas Setiausaha Sulit Mas Ermieyati, Noor Hashimah Noordin pada 8 September 2023.

Perintah waran tangkap terhadap Akmal Zahin dikeluarkan kerana kegagalannya hadir sebagai saksi berhubung dakwaan memberi sogokan semasa kempen PRU15 bagi kerusi itu.

Ini kerana, Akmal Zahin gagal hadir pada tarikh perbicaraan dan Hakim Datuk Abu Bakar Katar mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Waran tangkap terhadap Noor Hashimah dikeluarkan kerana kegagalannya hadir ke mahkamah sebagai saksi sepina.

Pada 25 September 2023, pihak pempe­tisyen memohon menutup kes selepas gagal mengemukakan saksi penting untuk perbi­caraan.

Dalam pada itu pihak pem­belaan turut mempunyai hujah bahawa keputusan hari ini berpotensi dimenangi mereka.

Peguam yang mewakili Mas Ermieyati, Mohd. Faizi Che Abu menjelaskan, beban untuk mengemukakan saksi sebenarnya terletak pada pihak pempetisyen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN