Petani terus adakan bantahan harga belian padi

Petani terus adakan bantahan harga belian padi

SEBAHAGIAN petani yang mengadakan bantahan secara aman ekoran penurunan harga belian padi di kilang ketika berkumpul di Kampung Kubang Jambu, Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Isu harga padi yang jatuh secara drastik terus mendapat bantahan daripada petani di negeri ini apabila seramai 70 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kuala Muda Selatan pula mengadakan bantahan secara aman hari ini.

Ia berikutan harga belian padi daripada RM1,700 satu tan kepada RM1,250 sejak 3 Oktober lepas menyebabkan mereka kecewa selain tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat itu.

Ahli Jemaah Pengarah PPK Kuala Muda Selatan, Badrol Hisham Bahari berkata, keputusan pengilang itu menyebabkan seramai 1,866 petani bagi keluasan sawah seluas 3,666 hektar di PPK tersebut semakin terjejas kerana terhimpit dengan kos pengurusan sawah dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Badrol berkata, penurunan harga belian tersebut adalah tidak relevan dengan situasi ekonomi ketika ini kerana kos pengurusan sawah padi seperti kos baja, racun dan sebagainya yang semakin tinggi.

“Tambahan lagi petani di sini merupakan petani di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), jadi peruntukkan yang kami terima tidak sama dengan peruntukkan yang diterima oleh petani di kawasan MADA.

“Mereka dapat banyak daripada kerajaan berbanding petani di luar kawasan MADA. Contohnya pada musim ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan ini hanya selenggara sebahagian kawasan pengairan dan selebihnya harus dilakukan sendiri oleh petani secara bergotong-royong,” katanya selepas mengadakan bantahan tersebut di kawasan tali air Kampung Kubang Jambu, di sini, hari ini.

Badrol berkata, purata pendapatan petani di kawasan itu adalah kira-kira empat tan per hektar untuk satu musim, maka dengan harga belian padi tersebut tidak memberi pulangan modal kepada petani.

“Ramai petani sudah mengeluh dengan isu ini dan kita tidak mahu sampai ke tahap petani memboikot untuk tidak mengusahakan sawah padi,” katanya.

Seorang petani dari Kampung Sungai Emas, Zulkefli Ismail, 64, berkata, pihaknya mendesak kerajaan supaya campur tangan dalam isu ini supaya dapat mengembalikan harga belian padi seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu RM1,700 satu tan.

“Sebelum ini petani sudah terbeban dengan pelbagai peningkatan kos termasuk kenaikan kos padi benih lebih 70 peratus iaitu RM35 untuk 20 kilogram (kg) kepada RM60 untuk berat yang sama baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi petani dari Kampung Bukit Meriam, Mohd. Fazirul Ismail, 39, berkata dengan harga belian padi RM1,250 ditambah subsidi RM500, mereka hanya akan meraih RM1750 untuk satu tan dan selepas ditolak kos-kos lain, keuntungan hanya tinggal sebanyak RM200 sahaja untuk satu tan.

“Jika kerajaan boleh kekalkan subsidi RM500 dan juga harga belian RM1,700 pendapatan petani akan jadi RM2,200 untuk satu tan dan kami boleh dapat keuntungan kira-kira RM600 untuk satu tan, barulah kami dapat tarik nafas lega sikit,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya