Petani mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

Petani mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang petani didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah pondok dalam kawasan kebun di Air Ganda, Gerik, minggu lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pondok dalam kawasan kebun di Air Ganda, Gerik pada pukul 3 petang, 3 Oktober 2023. Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammad Firdaus tidak mencadangkan jaminan kepada lelaki itu mengambil kira mangsa adalah anak tiri tertuduh dan dia masih pasangan suami isteri yang sah dengan ibu kanak-kanak itu.

“Tiada jaminan ditawarkan kerana bimbang berlaku kacau ganggu terhadap mangsa yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.

Mahkamah menetapkan 15 November ini untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.

Menerusi laporan media pada 7 Oktober lalu, seorang lelaki ditangkap berikutan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak berusia sembilan tahun. Perbuatan keji lelaki itu terbongkar selepas mangsa memberitahu kejadian  menimpanya kepada guru kaunseling di sekolah yang dia telah dirogol suspek dalam tempoh tiga tahun.

Hasil pemeriksaan oleh doktor pakar kanak-kanak di Hospital Taiping mendapati terdapat dua kesan koyakan lama pada bahagian kemaluan mangsa. –  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN