LANGKAWI: Seorang wanita dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini akibat keletihan semasa sedang melakukan disiplin renang dalam satu kejohanan triatlon di Pantai Kok, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, wanita tempatan berusia 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu merupakan salah seorang peserta kejohanan itu.
“Wanita tersebut kelihatan tidak bermaya ketika sudah hampir dengan penamat bagi disiplin renang dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Shariman menyatakan seorang lagi peserta lelaki juga didapati keletihan dan dia hanya diberikan rawatan di lokasi kejohanan.
Tambahnya, seorang penonton lelaki juga cedera semasa sedang menyaksikan kejohanan tersebut dan turut diberikan rawatan di lokasi sama.– UTUSAN