ALOR SETAR: Seorang peserta wanita kejohanan Ironman meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi, dekat sini pada petang tadi.
Mangsa, Muhaini Mahmud, 44, dimasukkan ke HSM sejak semalam selepas dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin renang pada acara sukan tersebut.
Kematian Muhaini disahkan Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari sebentar tadi.
Berita kematian Allahyarhamah Muhaini turut dikongsi anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurulhidayah di akaun Facebooknya.
Allahyarhamah merupakan pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn. Bhd.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Othman Warijo berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun yang dimasukkan ke HSM selepas tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin renang.
Katanya, kes kedua melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga dirawat di ICU hospital sama dengan keadaannya dilaporkan stabil.
“Mangsa dimasukkan ke hospital selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika melakukan disiplin larian. –UTUSAN