PASIR SALAK: Harga baharu belian padi RM1,300 satu tan berbanding RM1,200 sebelum ini belum cukup menggembirakan pesawah kerana mendakwa ia masih belum dapat menampung kos input yang semakin meningkat.
Pesawah di Sungan Manik di sini berkata, mereka menjangkakan kenaikan harga lantai belian padi yang lebih tinggi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Kata mereka, walaupun berlaku kenaikan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, ia belum cukup untuk melegakan pesawah.
Ketua unit pesawah Blok D di Sungai Manik, Helme Iskandar Muhamad berkata, di unitnya terdapat 68 pesawah yang rata-rata merasakan harga baharu padi yang diumumkan kerajaan tidak mencukupi untuk mereka meraih pulangan yang setimpal sawah yang mereka usahakan.
Menurutnya, ini berikutan kos mengusahakan sawah meningkat seperti kenaikan harga benih padi, baja dan racun dan kos upah.
“Harga baharu padi yang diumumkan iaitu naik daripada RM1,200 kepada RM1,300 memang tidak cukup buat kami sebab kos sawah sudah meningkat.
“Daripada upah mesin padi, merata tanah, membajak sawah, membaja dan meracun, semuanya mahal.
“Harga beras mahal tetapi kenapa harga padi masih rendah. Kenaikan harga padi yang diumumkan kerajaan tidak memberi kesan yang besar terhadap pendapatan kami, sepatutnya kenaikan lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pesawah, Masrol Kudis berkata, mereka mengharapkan kenaikan harga padi yang lebih tinggi diumumkan namun agak kecewa apabila harga baharu padi yang diumumkan masih rendah.
Katanya, kenaikan itu masih tidak mampu memberikan hasil yang lebih memuaskan kepada pesawah jika ditolak kos membuat sawah.
“Kami harap kerajaan sedia mengkaji lagi harga beras supaya ditambah lagi ke paras yang berbaloi untuk pesawah dapat disebabkan kos mengusahakan sawah sudah meningkat.
“Jika keadaan ini berterusan, mungkin semakin ramai pesawah yang memilih menukar tanah sawah kepada tanaman kontan yang lebih menguntungkan, jika berlaku, ini akan mengurangkan keluasan tanah sawah seterusnya menjejaskan keluaran padi negara,” katanya. – UTUSAN