Peruntukan RM825,000 perkasa program keselamatan kebakaran - Utusan Malaysia

Peruntukan RM825,000 perkasa program keselamatan kebakaran

ABDUL Wahab Mat Yasin (kanan) pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan 'Silver Chef' sempena Karnival Keselamatan Kebakaran peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peruntukan sebanyak RM825,000 disediakan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melaksanakan program ‘Community Fire Evacuation Awareness Escape Tent’.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, peruntukan bagi program memperkasakan kesedaran keselamatan awam itu diperolehi di bawah Peruntukan Mengurus dalam Belanjawan 2024.

“JBPM terus berusaha memperkasakan lagi aspek keselamatan kebakaran melibatkan masyarakat di mana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan ‘Fire Learning Hub Centre’ di balai-balai.

“Perkara itu telah diperhalusi dan dimuktamadkan di Bengkel Pengislahan Pelan Strategik KPKT 2023-2025 di Pulau Langkawi pada 4 hingga Mac lalu.

“Inisiatif ini menunjukkan pengurusan tertinggi kementerian cakna berhubung perkara yang melibatkan masyarakat umumnya berkaitan kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Karnival Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi sebarang aktiviti di air khususnya ancaman kepala air.

Katanya, ini berikutan situasi semasa yang memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) dan menerima taburan hujan yang tinggi daripada kebiasaan, dijangka bermula bulan depan hingga Mac 2024.

“Di Perak sendiri, terdapat tujuh lokasi panas kepala air iaitu di Sungai Bil, Sungai Dang, Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kijang, Sungai Lata Iskandar, Sungai Ulu Slim dan Sungai Trolak.

“Pesanan ini amat bertepatan dengan peranan JBPM selaku urusetia Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) yang terletak di bawah KPKT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN