Perubatan tradisional, komplementari nilai tambah kaedah rawat, sembuh pesakit

Perubatan tradisional, komplementari nilai tambah kaedah rawat, sembuh pesakit

AMINUDDIN Harun merasmikan Pusat Perubatan Tradisional dan komplementari, Hospital UCSI di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kaedah perubatan tradisional dan komplementari berupaya menambah baik nilai perawatan dan penyembuhan penyakit sekali gus memberi nilai tambah dalam perkhidmatan perubatan negara.

Pengerusi Kumpulan Perkhidmatan Kesihatan UCSI, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah perubatan itu boleh membuktikan keberkesanan melalui proses pembelajaran berterusan dan kajian penyelidikan berasaskan kajian saintifik.

Kata beliau, ia juga memerlukan panduan kepada data, sains dan fakta untuk memperkasakan lagi perubatan tradisional dan komplementari yang telah bertapak sekian lama.

“(Justeru) penubuhan Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari adalah sangat bertepatan dan satu inisiatif terbaik yang ditawarkan di Hospital UCSI amat bertepatan dalam menyokong perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Perubatan Tradisional dan komplementari, Hospital UCSI yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Penasihat Kumpulan UCSI dan Pro Canselor Universiti UCSI, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abd. Rashid

Noor Hisham yang juga bekas Ketua Pengarah Kesihatan berkata, seperti sedia maklum, beliau adalah seorang pakar bedah am, payudara dan endokrin dan sama sekali tidak dilatih dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari.

Mengimbau kembali pada tahun 2012, beliau mengaku ketika itu kurang yakin dengan keberkesanan perubatan tersebut khususnya dalam bidang bius setempat dalam pembedahan.

“Tambahan pula saya pernah dengar pembedahan dilaksanakan tanpa bius am atau bius setempat, sebaliknya hanya dengan menggunakan kaedah akupuntur.

“Saya berkesempatan bersama dengan pakar bius dan seorang lagi pakar bedah am, melawat ke Hospital Shu Guan di Shanghai, China yang mana hospital ini diberikan geran oleh Kerajaan China untuk memperkukuhkan perawatan kaedah tradisional dan komplementari,” katanya.

Menceritakan lanjut, beliau ketika itu amat teruja dan terpegun menyaksikan keunggulan perawatan akupuntur dalam pembedahan iaitu pembedahan tiroid, neurosurgeri, jantung dan lain-lain hanya menggunakan jarum akupuntur tanpa bius.

Katanya, pesakit-pesakit pula tidak ada ‘ekpresi muka’ dalam kesakitan, malah begitu tenang selain ada yang tertidur tanpa kesakitan langsung.

“Saya sendiri pastikan tiada ubat-ubatan lain digunakan dan saya sendiri menanyakan kepada pesakit semasa pembedahan sama ada merasa kesakitan tersebut. Jawapannya tidak.

“Selepas itu kami amat yakin dengan kaedah pembedahan tersebut. Sekembali dari China, kami menggunakan kaedah yang dipelajari di Hospital Ipoh dan dapat membuktikan keberkesanan pembedahan menggunakkan kaedah akupuntur iaitu acupuncture assisted analgesia,” katanya.

Mengikut rekod pada 2012, Hospital Raja Permaisuri Bainun (RPBH) di Ipoh berjaya melaksanakan pembedahan kecil membuang nodul tiroid dengan hanya menggunakan akupunktur dan bius, pertama di Malaysia.

Noor Hisham ketika itu merupakan Ketua Jabatan Pembedahan dan Ketua Pakar Pembedahan Payu Dara dan Endokrin Hospital Putrajaya menjalankan sendiri pembedahan itu yang mengambil masa 35 minit.

Prosedur pembedahan itu tiada ubat-ubatan lain digunakan selain satu dos kecil daripada bius tempatan untuk menyekat penguncupan otot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya