BACHOK: Seorang warga emas yang pernah dianggap ‘gila’ kerana gemar mengutip dan mengumpul teras kayu serta pokok hutan kini pengusaha herba berjaya di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Roslan Mamat, 65, berkata, sindiran dan pandangan sinis terhadap usahanya itu bukan penghalang untuk berbakti kepada orang ramai.
“Niat saya satu iaitu membantu orang ramai yang sakit menerusi perubatan alternatif. Alhamdulillah, saya bukan sekadar bermeditasi dan bersuluk malah ada mendapat bimbingan guru serta sering merujuk pakar dalam bidang herba berkaitan,” katanya ketika ditemui di bengkel penghasilan herba dan biji tasbih di Kampung Dusun Tok Deh, Pantai Melawi semalam.
Roslan yang popular dengan gelaran Ayahmin Sifu berkata, sehingga kini dia sudah mengumpulkan pelbagai jenis teras kayu bernilai tinggi termasuk teras pokok kelor (moringga oleifera), kayu kokka (attalea funifera), kayu pancar delima (puniha granutum) dan kayu nagasari (palaquium Rostratum).
Katanya, Malaysia kaya dengan pelbagai herba yang mustajab dan bergantung kepada keserasian pengguna.
“Bagi memastikan herba yang dihasilkan itu berkualiti, saya masuk ke hutan termasuk Gunung Jerai dan Gunung Ledang dalam mendapatkan hasil terbaik kepada orang ramai.
“Pembikinan herba untuk pelbagai jenis penyakit mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli termasuk kayu tunjuk langit yang dikatakan lebih kuat penangannya,” katanya.
Mengulas mengenai teras kayu, Ayahmin Sifu berkata, ia memiliki auranya yang tersendiri selain mempunyai unsur positif dan negatif dalam perubatan tradisional.
Katanya, harga seutas tasbih pula bergantung kepada gabungan jenis kayu, bilangan dan saiznya.
Ia dijual antara RM400 hingga mencecah lebih RM1,000.
“Syukur pada masa ini ia sudah menjadi produk keluarga.
“Semuanya ada yang dijual secara dalam talian, tempahan kilang serta bahan mentah yang diperlukan oleh pengusaha kosmetik dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN