Perlis pertimbang teroka projek tenaga solar - Utusan Malaysia

Perlis pertimbang teroka projek tenaga solar

MOHD. Shukri Ramli (tiga dari kiri) menyampaikan plakad Tahun Melawat Perlis kepada pengusaha pelancongan pada Majlis Libat Urus Menteri Besar Bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan (Homestay) dan Pengusaha Restoran Negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri mempertimbangkan meneroka projek pembangunan tenaga solar untuk dilaksanakan di Perlis.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu memandangkan pelaksanaannya perlu menggunakan kawasan dan tanah yang luas.

Beliau berkata, terdapat juga beberapa pelabur telah menghantar proposal bagi membangunkan projek tenaga solar di negeri ini namun ia masih di peringkat kajian sebelum sebarang pemilihan dibuat.

“Perkara berkaitan projek tenaga solar itu akan dibincangkan kembali bagi melihat secara terperinci sebarang pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Menteri Besar Bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan (Homestay) dan Pengusaha Restoran Negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan bekas Perdana Menteri yang juga merupakan Penasihat State-Goverment 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohammad berhubung potensi Perlis yang sesuai melaksanakan projek tenaga solar besar-besaran susulan keadaan cuacanya yang panas.

Tun Mahathir berkata, Perlis dilihat tidak begitu menonjol berbanding negeri lain berikutan sumber pendapatannya terhad tetapi masih mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan.

Utusan Malaysia sebelum ini turut melaporkan pemasangan panel solar di kediaman mampu memberi penjimatan bulanan bil elektrik sehingga 90 peratus.

Malah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengharapkan agar pengguna domestik mereka khususnya di Kedah dan Perlis dapat meneroka penggunaan solar bumbung kerana dua negeri ini merupakan kawasan titik panas dan amat sesuai sekiranya beralih daripada tenaga konvesional kepada solar.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertemuan bersama Dr. Mahathir di kediaman rasmi Menteri Besar semalam, Mohd Shukri berkata, perbincangan tersebut adalah bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu dalam membantu meningkatkan ekonomi Perlis.

“Selepas ini, kami akan bertemu empat negeri ini (Perlis, Kedah, Tengganu dan Kelantan) untuk bincang kembali apa bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya