KANGAR: Perlis menjadi pilihan warga kerja khususnya penjawat awam dari luar menghabiskan usia emas mereka dengan terus menetap di negeri ini selepas bersara.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kebanyakkan mereka yang menghabiskan perkhidmatan atau bersara lazimnya memilih untuk terus kekal di Perlis atas faktor ketenangan dan suasananya yang aman.
Katanya, menjelang 2030, Perlis juga bakal menjadi antara negeri yang merekodkan jumlah warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan kadar melebihi 15 peratus.
Katanya, menuju ke arah itu, kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan sememangnya amat prihatin terhadap nasib warga emas di Perlis.
“Terdapat banyak bentuk bantuan turut disediakan bagi membantu warga emas termasuk dalam kategori B40 untuk membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan suasana lebih baik.
“Kadar 15 peratus penduduk di negeri ini terdiri daripada warga emas menjelang 2030 menunjukkan bahawa rakyat Perlis sihat dan panjang umur.
“Oleh itu, kita sentiasa memberi perhatian ke atas nasib mereka melibatkan agensi negeri seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat negeri ini di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengarah JKM negeri, Ku Chik Ku Mat Esa.
Pada majlis berkenaan, seramai 28 individu telah terpilih bagi menerima anugerah khas yang diberikan bersempena sambutan tersebut melibatkan 13 kategori.
Sementara itu, Ku Chik berkata, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang ditubuhkan di tiga kawasan Parlimen negeri ini merupakan usaha kerajaan bagi melibatkan warga emas dengan aktiviti dan menggelakkan mereka keseorangan sekiranya anak-anak merantau untuk bekerja di luar.
Katanya, sekiranya warga emas terlibat mempunyai kemahiran tertentu, mereka juga boleh melakukan perkongsian bersama rakan-rakan lain menerusi PAWE berkenaan.
“Ini adalah komitmen dilakukan kerajaan dalam memastikan warga emas dapat berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif serta produktif,” katanya.-UTUSAN